Home » Rancangan bina Hospital Nabawan dalam RMK17
Berita GRS Politik

Rancangan bina Hospital Nabawan dalam RMK17

DUN: James (kiri) bersalaman dengan ADUN Dilantik Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee pada sidang DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Perancangan untuk menubuhkan fasiliti Hospital Nabawan sudah dimasukkkan dalam Pelan Induk Perancangan Fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia 2023-2045 untuk dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-17 (RMK17).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk james Ratib berkata, buat masa ini, rawatan bagi pesakit di daerah Nabawan diberikan melalui fasiliti Klinik Kesihatan Nabawan sedia ada iaitu Klinik Jenis 4 yang berfungsi sebagai pusat rujukan utama bagi klinik-klinik lain di sekitar daerah Nabawan.


Katanya, pada 2019, skop perkhidmatan Klinik Kesihatan Nabawan diperluaskan dengan penambahan Unit Hemodialisis selain daripada Perkhidmatan Pesakit Luar (OPD), Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Perkhidmatan Kecemasan, Perkhidmatan Radiologi (X-ray), Perkhidmatan Makmal Kesihatan Primer, Perkhidmatan Farmasi, Perkhidmatan Pemakanan dan Perkhidmatan Jurupulih Perubatan.


Menurutnya, bagi memastikan perkhidmatan rawatan yang konsisten, sistem kerja syif turut diperkenalkan di Unit Kecemasan dan Ruang Pemantauan Pesakit sejak 2017 bagi membolehkan perkhidmatan diberikan secara 24 jam.


“Sistem ini dilaksanakan untuk memudahkan penduduk di daerah Nabawan mendapatkan rawatan kecemasan pada bila-bila masa. Sebagai makluman tambahan, pesakit akan dirujuk ke Hospital Keningau sekiranya perlu dirujuk ke Hospital Pakar,” katanya.


Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Gagasan Rakyat-Nabawan) mengenai cadangan supaya Klinik Kesihatan Nabawan dinaik taraf kepada Hospital Nabawan berikutan populasi penduduk yang semakin meningkat di daerah itu.


Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih berkata, kerajaan sedar kepentingan bangunan menara 11 tingkat milik Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sebagai aset strategik yang berpotensi untuk dijadikan pemangkin pertumbuhan ekonomi di pusat bandar Sandakan.


Sehubungan itu katanya, beberapa langkah telah dan akan diambil bagi memperkasakan bangunan berkenaan termasuklah mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan membuat kajian model pengurusan aset yang lebih sesuai dan berkesan.


“Bagi menarik pelaburan dan penyewaan ruang, kerajaan menawarkan pakej sewaan yang kompetitif kepada syarikat korporat atau para pelabur bagi menjadikan bangunan ini sebagai pusat komersial utama.


“Jalinan kerjasama dengan sektor swasta turut dipergiatkan dalam membangunkan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih menarik.


“Pihak MPS sedang dan akan menaik taraf kemudahan asas seperti sistem perparitan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pencahayaan dan keselamatan di kawasan persekitaran pusat bandar Sandakan, termasuk kawasan bangunan Menara MPS,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Frankie Poon Ming Fung (DAP- Tanjong Papat) mengenai langkah kerajaan negeri dalam memperkasa Menara MPS bagi menjadikannya aset produktif kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menarik lebih banyak aktiviti ekonomi.
 
Isnin berkata, selain pendapatan daripada sewaan bangunan Menara MPS, pihak MPS boleh menjana hasil melalui hak pengiklanan di ruang papan iklan Menara MPS.


Justeru jelasnya, kementerian mengharapkan usaha MPS, di bawah pentadbiran presiden yang baharu dan pegawai pengurusan MPS komited seperti yang telah dirancang untuk memperkasakan bangunan Menara MPS.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment