TUARAN: Rawatan infertiliti yang ditawarkan di klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) membuktikan keberkesanan apabila sebanyak 6,249 kehamilan berjaya direkodkan di seluruh negara tahun lalu.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag, berkata angka itu berdasarkan laporan prestasi LPPKN 2024 yang menunjukkan seramai 29,163 individu menjalani rawatan kesuburan di klinik agensi berkenaan.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS), berkata bagi memperluaskan manfaat, LPPKN turut melaksanakan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BUAI) dengan sasaran 30,000 pasangan mendapat faedah secara langsung.
“Daripada jumlah ini, 1,300 pasangan akan menerima pembiayaan sehingga dua kitaran rawatan Intrauterine Insemination (IUI).
“Program ini juga memberi penekanan kepada advokasi awal melalui kempen Lebih Awal, Lebih Baik, yang menyarankan pasangan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan seawal mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Dari Keluarga Untuk Komuniti sempena pelancaran BUAI peringkat negeri Sabah, di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.
Program itu adalah siri terakhir penganjuran BUAI di seluruh negeri dengan kerjasama MUTIARA-GRS.

Dalam pada itu, Juliah berkata laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan seorang daripada enam pasangan berkahwin di negara ini berdepan masalah kesuburan, sekali gus membuktikan isu itu bukan terpencil.
“Sebaliknya, ia adalah cabaran yang semakin meningkat dalam kalangan pasangan muda hari ini. Maka, usaha advokasi dan bantuan klinikal amat penting supaya pasangan ini tidak berasa terpinggir,” katanya.
Beliau berkata kehadiran peserta daripada kawasan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu pada program berkenaan membuktikan kesungguhan komuniti dalam membincangkan isu kesuburan serta kesejahteraan keluarga.
— TAMAT

























Add Comment