Home » Kompleks Sukan Tongod terbengkalai, KBS digesa lantik kontraktor baharu segera
Berita Gagasan Rakyat Politik

Kompleks Sukan Tongod terbengkalai, KBS digesa lantik kontraktor baharu segera

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuamut, Willy Frous Darinsok

TONGOD: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah digesa segera melantik kontraktor baharu bagi menyiapkan projek Kompleks Sukan Tongod yang terbengkalai sejak awal Ogos lalu.

Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, Willyfous Darinsok, berkata langkah itu penting selepas kontrak asal bernilai RM7 juta ditamatkan berikutan kegagalan syarikat terdahulu menyiapkan projek berkenaan.

Menurutnya, kelewatan itu menimbulkan kekecewaan ramai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, yang lebih 10 kali turun ke tapak projek untuk memberi amaran.

“Walaupun beberapa kelonggaran diberikan termasuk empat kali lanjutan masa (EOT), kerja masih mengecewakan. Akhirnya Datuk Masiung sendiri mendesak KBS menamatkan kontrak syarikat terbabit supaya kontraktor baharu dapat dilantik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Willyfous yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Sukan Sabah berkata, kelemahan kontraktor turut menimbulkan spekulasi tidak benar terhadap wakil rakyat Kuamut, sedangkan isu sebenar berpunca daripada kegagalan syarikat berkenaan.

“Pihak pembangkang cuba mengambil kesempatan menyebarkan fitnah, tetapi hakikatnya masalah ini datang daripada kontraktor. Tanggungjawab kami ialah memastikan projek ini siap dan dimanfaatkan anak muda Tongod,” tegasnya.

Beliau menegaskan KBS perlu mempercepatkan proses tender semula agar projek yang dikategorikan sebagai “projek sakit” itu dapat diteruskan segera demi kepentingan masyarakat setempat.

— TAMAT