Home » RM1.82 juta untuk Lembaga Padi Sabah – Masidi
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

RM1.82 juta untuk Lembaga Padi Sabah – Masidi

Membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Jumaat, Masidi berkata Kerajaan Negeri berusaha meningkatkan hasil dan kualiti tanaman bagi memastikan SSL semua bekalan makanan terus meningkat.

KOTA KINABALU:KERAJAAN Negeri akan mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah tahun depan dengan peruntukan RM1.82 juta untuk operasi dan pentadbiran sebagai sebahagian daripada inisiatif meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 31 peratus pada 2025, daripada 22 peratus tahun ini.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan insentif penanaman padi dengan peruntukan RM18 juta dan memulihkan kawasan sawah terbiar, membangunkan padi tanah kering, menambah jentera membajak dan menuai, membekalkan baja, di samping memberi subsidi beras kepada semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta.

Kajian mengenai varieti padi yang sesuai untuk ditanam di kawasan sawah yang terjejas oleh air masin, terutamanya di Pantai Timur Sabah, juga akan diteruskan dan teknologi penanaman padi tanah kering juga akan diperkenalkan kepada petani, katanya sambil menambah Kerajaan Negeri mengiktiraf kepentingan keterjaminan makanan di Sabah terutamanya beras.

Bagi subsektor tanaman lain, beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan pembangunan ladang komoditi; penyelidikan, akreditasi dan pensijilan; penguatkuasaan kuarantin; pembangunan modal insan; dan usahawan pertanian.

Membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Jumaat, Masidi berkata Kerajaan Negeri berusaha meningkatkan hasil dan kualiti tanaman bagi memastikan SSL semua bekalan makanan terus meningkat.

“Justeru, Negeri akan mempergiatkan usaha untuk memajukan lagi sektor pertanian. Pelbagai inisiatif dan inovasi diperkenalkan dan dilaksanakan melalui program pembangunan tanaman, akuakultur, ternakan, ladang getah serta pembangunan usahawan pertanian,” katanya.

Bagi memastikan Sabah menjadi hab makanan serantau, Masidi berkata sebuah lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) telah dikenal pasti dan akan dibangunkan di Sungai Lokan, Kinabatangan.Dengan itu, sebanyak 16 TKPM dibangunkan di Sabah dengan keluasan 592.87 hektar yang melibatkan 183 peserta, tambahnya.

“Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran kini sedang meneroka bidang penyelidikan baharu dalam bioteknologi tumbuhan, khususnya biologi molekul untuk menghasilkan varieti baharu yang mempunyai tempoh matang yang lebih singkat dan tahan penyakit, serta mampu menghasilkan tanaman berkualiti tinggi.”

Bagi sektor perikanan yang merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK di bawah sektor pertanian bagi tahun 2022, Masidi berkata sejumlah RM41.61 juta diperuntukkan bagi meneruskan program pembangunan dan sokongan yang menjamin pengeluaran hasil perikanan untuk pasaran domestik dan antarabangsa. 

Daripada angka itu, beliau berkata sejumlah RM10.43 juta diperuntukkan dalam pembangunan untuk membiayai antara lain inisiatif pemuliharaan melalui aktiviti tagal dan pemasangan tukun tiruan.

“Baki perdagangan dalam sektor perikanan menunjukkan angka positif kira-kira RM600 juta hingga RM900 juta setiap tahun,” katanya.

Selain itu, beliau berkata usaha membanteras penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal khususnya isu pengeboman ikan, akan dipertingkatkan.

Hasilnya, pada tahun ini, sebanyak 49 kes termasuk empat kes mahkamah berjaya direkodkan oleh Jabatan Perikanan Sabah.

Masidi berkata, Kerajaan Negeri berhasrat menerokai Ekonomi Biru dengan matlamat pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau menjelaskan konsep Ekonomi Biru melibatkan penerokaan mampan sumber marin dan pantai.

“Sebagai contoh, pemuliharaan bakau, perikanan dan akuakultur, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan rekreasi, perubahan iklim dan lain-lain.

Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan penerokaan baharu ini dengan kerjasama pelabur asing yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut. 

“Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa pada Februari 2024,” katanya.

Ko-Nelayan diperuntukkan RM15.99 juta bagi meneruskan pelaksanaan program dan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti nelayan, usahawan kecil dan sederhana serta pembangunan industri perikanan dan akuakultur.

Bagi subsektor ternakan, Masidi berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM99.05 juta untuk perbelanjaan operasi dan pelaksanaan 43 projek pembangunan bertujuan meningkatkan keselamatan makanan produk ternakan premium dan meningkatkan standard keselamatan makanan.

— Larry Ralon

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment