KOTA KINABALU: Kenyataan Menteri Kewangan Sabah mengesahkan bahawa pembayaran RM1 bilion hutang kerajaan negeri pada tahun 2019 bukanlah hasil pengurusan kewangan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan), sebaliknya berpunca daripada perancangan kewangan rapi kerajaan terdahulu sejak tahun 2014.
Menurut rekod, pada Disember 2014, Kerajaan Negeri menerbitkan Bon Negeri Sabah (2014/2019) dan Bank Negara Malaysia menetapkan syarat agar sebuah Tabung Amanah Khas diwujudkan. Langkah itu bertujuan memastikan bayaran balik bon dibuat sepenuhnya apabila tempoh matang.
Bermula tahun tersebut, kerajaan ketika itu memperuntukkan RM200 juta setiap tahun selama lima tahun berturut-turut. Hasilnya, sebanyak RM1 bilion berjaya dikumpulkan pada 2019 dan digunakan sepenuhnya untuk melunaskan bon berkenaan secara sekali gus tanpa menjejaskan kedudukan kewangan negeri.
Pentadbiran Warisan hanya melaksanakan proses akhir pembayaran menggunakan dana yang telah tersedia hasil strategi kerajaan sebelumnya. Justeru, dakwaan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, bahawa pembayaran itu adalah kejayaan pentadbiran Warisan disifatkan tidak tepat dan mengelirukan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, berkata rakyat perlu mengetahui fakta sebenar agar tidak terpengaruh dengan naratif politik yang memutarbelitkan sejarah demi kepentingan peribadi.
“Langkah menubuhkan Tabung Amanah Khas ini adalah strategi bijak untuk mengelakkan beban kewangan besar kepada negeri. Ia adalah usaha pentadbiran sebelum Warisan, dan tidak wajar pihak lain menuntut kredit atas hasil kerja orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
— TAMAT

























Add Comment