TAWAU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Inderasabah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali berkata Kampung Inderasabah adalah satu-satunya kampung di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) yang terpilih untuk program ini.
Katanya, walaupun sebahagian besar peruntukan akan digunakan untuk pembangunan infrastruktur seperti menaik taraf pencahayaan jalan dan jeti.
Namun katanya, komponen yang lebih penting dalam pelaksanaan Kampung Angkat Madani adalah pembangunan bukan fizikal.
“Sebanyak tujuh projek telah dikenal pasti di Kampung Inderasabah, antaranya pencahayaan lampu jalan di kawasan kurang terang serta naik taraf jeti untuk kemudahan komuniti pesisir.
“Justeru, kita sudah mengadakan mesyuarat dengan melibatkan pelbagai agensi di Tawau serta agensi berkaitan di Sabah untuk menyelaras pelaksanaan program ini secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Induk Kampung Angkat MADANI Kampung Inderasabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, ESSCOM turut bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi keselamatan bagi menangani isu jenayah rentas sempadan.
Selain itu, katanya, sebanyak RM200,000 lagi diperuntukkan khusus untuk pelaksanaan program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang dijangka memberi impak besar kepada golongan belia.
“Program TVET ini akan memberi peluang kepada anak muda di Kampung Inderasabah untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka.
“Ia dilihat penting bagi memecahkan kitaran kemiskinan dan membuka jalan kepada masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Dr. Jamaluddin berkata, jika pelaksanaan di Kampung Inderasabah berjaya, model Kampung Angkat MADANI ini berpotensi untuk diperluaskan ke kawasan lain seperti Kudat, Sandakan, Beluran dan Semporna.
“Inisiatif ini sejajar dengan moto ESSCOM, iaitu ‘Bersama-sama Menjana Kesejahteraan’. Kita mahu rakyat bukan sahaja rasa selamat, tetapi juga mendapat akses kepada pembangunan yang inklusif,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 untuk inisiatif Sekolah Angkat MADANI.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Lihak-Lihak di Semporna telah dipilih sebagai sekolah angkat pertama dalam program ini yang turut memberi fokus kepada komuniti pantai.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pemilihan kampung ini adalah satu pengiktirafan besar dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan komuniti luar bandar tidak terpinggir daripada arus pembangunan nasional.
Katanya, Kampung Inderasabah adalah antara lokasi yang dianggap ‘hotspot’ berikutan kedudukannya yang bersempadan dengan perairan antarabangsa melibatkan Indonesia dan Filipina.
“Maka, program ini bukan sahaja menekankan aspek pembangunan sosial dan ekonomi, malah turut memberi penekanan terhadap keselamatan komuniti setempat.
“Justeru, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada ESSCOM atas pemilihan ini, yang saya percaya bakal memberi impak besar terhadap pembangunan menyeluruh komuniti di kampung ini,” katanya.
Nizam berkata, program ini akan membuka ruang lebih luas kepada pembangunan infrastruktur, peningkatan aktiviti ekonomi, serta memperkukuh kerjasama antara penduduk kampung dan agensi keselamatan.
“Dengan pendekatan holistik ini, saya yakin ia akan memberi nilai tambah besar kepada rakyat, dan berharap segala perancangan yang telah dibentangkan dapat direalisasikan demi kesejahteraan penduduk Kampung Inderasabah,” katanya.
–Hamzah Sanudin
Add Comment