Home » RM5.701 bilion untuk bajet bekalan 2024 – Masidi
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

RM5.701 bilion untuk bajet bekalan 2024 – Masidi

Masidi berkata, peruntukan perbelanjaan mengurus pada 2024 meningkat sebanyak RM563.37 juta atau 10.96 peratus berbanding anggaran awal 2023 sebanyak RM5.138 bilion yang meliputi emolumen, perbelanjaan berulang dan perbelanjaan khas.

KOTA KINABALU: Bagi mengekalkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan stabil, Kerajaan Negeri merangka strategi melalui menganalisis petunjuk dan ramalan ekonomi secara keseluruhan sebagai langkah menghadapi kelembapan ekonomi pada 2024, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Justeru, katanya, Belanjawan Negeri 2024 disediakan berdasarkan unjuran hasil bagi mengekalkan belanjawan lebihan bagi menambah rizab negeri.

“Bagi tujuan meningkatkan operasi dan pentadbiran negeri, sejumlah RM5.701 bilion dicadangkan untuk bajet bekalan 2024,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2024 di Dewan Undangan Negeri, di sini, Jumaat.

Daripada jumlah ini, RM4.751 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM950 juta untuk caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan.

Beliau berkata, peruntukan perbelanjaan mengurus pada 2024 meningkat sebanyak RM563.37 juta atau 10.96 peratus berbanding anggaran awal 2023 sebanyak RM5.138 bilion yang meliputi emolumen, perbelanjaan berulang dan perbelanjaan khas.

“Sebanyak RM808.06 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan emolumen bagi membiayai gaji penjawat awam.

“Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM15.78 juta atau 2 peratus berbanding peruntukan tahun lepas berikutan kenaikan gaji tahunan.”

Sementara itu, katanya, RM2.203 bilion atau 38.64 peratus dicadangkan untuk perbelanjaan berulang, dengan peningkatan sebanyak RM176.32 juta atau 8.7 peratus berbanding peruntukan awal 2023.

Peningkatan itu adalah untuk membiayai biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, bantuan sosial kepada sekolah berasrama penuh dan rumah anak yatim, suruhanjaya tenaga Sabah, infrastruktur asas terutamanya bagi memulihkan bekalan air dan penyelenggaraan cerun dan bangunan kerajaan, penubuhan Jabatan Audit Dalaman serta Unit Perubahan Iklim/Kesan Rumah Hijau Sabah.

“Sejumlah RM1.74 bilion atau 30.52 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan khas dengan peningkatan sebanyak RM161.26 juta atau 10.62 peratus lebih tinggi daripada peruntukan awal tahun 2023.

“Peningkatan ini mewakili komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani isu sekuriti makanan melalui pemulihan Lembaga Beras dan Padi Sabah, isu infrastruktur serta kemudahan awam,” katanya.

Masidi berkata, RM1.328 bilion diperuntukkan pada 2024 untuk perbelanjaan pembangunan.Jumlah ini, katanya, termasuk peruntukan negeri sebanyak RM847.23 juta dan peruntukan Persekutuan sebanyak RM480.46 juta dalam bentuk pinjaman Persekutuan dan boleh dibayar balik.

Agihan perbelanjaan pembangunan adalah berdasarkan tiga sektor – sektor ekonomi (RM555.60 juta atau 65.58 peratus, sektor sosial (RM272.99 juta atau 32.22 peratus) dan sektor pentadbiran am (RM18.64 juta atau 2.2 peratus). 

— DE