KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM6.27 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) untuk menggalakkan kesaksamaan gender dan memanfaatkan potensi wanita, kata Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun.
“Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa wanita mendapat peluang dan faedah yang sama rata.
“Justeru, peruntukan untuk Jhewa ini diharap dapat digunakan untuk mengurus dan meningkatkan kesejahteraan wanita melalui pelbagai program pembangunan modal insan,” katanya.
Masidi yang membentangkan Belanjawan Negeri 2024 di Dewan Undangan Negeri di sini pada Jumaat berkata, sebanyak RM11 juta turut diperuntukkan melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) bagi membantu suri rumah, ibu tunggal, usahawan kecil, petani, penternak, nelayan dan pemilik perniagaan kecil yang memerlukan pinjaman mikrokredit untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
Setakat ini, beliau berkata seramai 44,183 individu telah dibantu melalui 134,913 pinjaman berulang di bawah Skim Mikrokredit oleh YUM.
Bagi pembangunan belia dan sukan, Masidi berkata kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM100.17 juta untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan.
Daripada jumlah itu, beliau berkata RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti membabitkan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang bertujuan memperkasakan belia mencapai kesejahteraan sosio-ekonomi selaras Dasar Belia Sabah.
“Sabah mempunyai visi untuk “Melahirkan Atlet Bertaraf Dunia” berdasarkan tiga teras utama iaitu Sukan Berprestasi Tinggi, Sukan Industri dan Sukan Massa.
“Justeru itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM27.13 juta untuk mengurus dan membangunkan industri sukan di Sabah.
“Daripada jumlah ini, RM2.08 juta diperuntukkan untuk pembangunan Sukan Massa, RM20 juta untuk operasi dan pembangunan sukan berprestasi tinggi oleh Majlis Sukan Negeri Sabah, serta RM5.05 juta untuk geran sukan,” katanya.
Masidi turut mengucapkan tahniah kepada 16 atlet Sabah yang menyertai kontinjen negara bagi Sukan Asia 2023 di China di mana mereka memenangi dua pingat perak dalam acara karate dan dua pingat gangsa dalam acara pelayaran dan olahraga.
“Kerajaan Negeri akan menghantar atlet menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak pada Ogos 2024 dan kami berharap kejayaan mereka dapat membanggakan Negeri kita. Insya Allah.
“Bagi memenuhi keperluan peminat sukan dan orang ramai, Kompleks Sukan Tongod dan Kota Marudu, dengan peruntukan RM3 juta, dijadualkan siap tahun depan,” katanya.
— Hayati Dzulkifli
Add Comment