TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi tanaman makanan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), sektor pertanian kekal sebagai antara tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan sekuriti makanan Sabah kekal kukuh dan mampan.
“Isu keterjaminan makanan kini menjadi agenda utama di peringkat global dan nasional, dipengaruhi perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos sara hidup. Justeru, pendekatan baharu yang lebih praktikal, berdaya tahan dan inklusif amat diperlukan,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan akan terus menjadi nadi pembangunan sosioekonomi Sabah dalam tempoh lima tahun pelaksanaan SMJ 2.0, seiring aspirasi untuk memperkukuh daya tahan ekonomi luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Sabah sebagai agensi utama pembangunan subsektor tanaman ialah Pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di seluruh negeri.
Selain itu, katanya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM15 juta disalurkan untuk perolehan jentera menuai dan pembajakan padi.
“Inisiatif ini bertujuan menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan serta berdaya saing, di samping menjamin sekuriti makanan dengan sasaran SSL beras meningkat kepada 60 peratus menjelang 2030,” katanya.
Hajiji turut menyatakan keyakinan bahawa tiga tonggak utama pembangunan ekonomi negeri iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan akan mencatat peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun di bawah pelaksanaan SMJ 2.0.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keterjaminan makanan bukan tanggungjawab ladang berskala besar semata-mata, sebaliknya bermula di peringkat akar umbi.
“Usaha ini juga perlu digerakkan dari halaman rumah kita sendiri. Dalam konteks ini, inisiatif Kebun Dapur di bawah Program Revolusi Ekonomi Luar Bandar bukan sahaja berfokus kepada pengeluaran makanan, malah membantu mengurangkan kos sara hidup serta membentuk komuniti yang lebih berdikari dan mampan,” katanya.
Menurut beliau, Jelajah Kebun Dapur yang akan dilaksanakan di seluruh Sabah bertujuan memastikan inisiatif berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, termasuk di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
“Saya mahu melihat Tuaran muncul sebagai ‘Daerah Kebun Dapur Model’, di mana inisiatif ini benar-benar menjadi sebahagian daripada cara hidup komuniti.
“Saya berharap setiap kampung, kawasan perumahan dan komuniti dapat mengambil peluang ini untuk mengusahakan kebun dapur mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing,” katanya.
Hajiji berkata, program jelajah itu mengguna pakai pendekatan mentor–mentee, di mana usahawan tani yang berjaya dan berpengalaman akan membimbing komuniti setempat.
“Pendekatan ini memastikan pemindahan ilmu dan amalan terbaik secara berterusan, di samping memperkukuh pelaksanaan di peringkat akar umbi serta membina rangkaian sokongan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau turut menggesa golongan belia di Tuaran dan seluruh Sabah supaya merebut peluang yang ditawarkan melalui siri jelajah itu untuk mempelajari teknik pertanian pintar berasaskan inovasi dan teknologi, sekali gus menjana pendapatan tambahan.
–TAMAT

























Add Comment