Home » KPDN laksana Ops Pantau 19 Feb hingga 20 Mac, pantau harga dan bekalan Ramadan
Berita GRS Politik

KPDN laksana Ops Pantau 19 Feb hingga 20 Mac, pantau harga dan bekalan Ramadan

PAPAR, 15 Feb -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Cina selepas merasmikan pembukaan Burger King Benono Drive-Thru dan penyerahan sumbangan bakul makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau bermula 19 Februari hingga 20 Mac ini bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi serta harga kekal terkawal sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu akan melibatkan pemeriksaan dan pemantauan secara berfokus, lebih kerap serta bersasar ke atas premis peruncitan termasuk pasar tani, pasar malam, tamu, pasar raya, bazar Ramadan serta platform penjualan dalam talian.

“Ops Pantau dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan kawalan harga dan perihal dagangan, di samping melindungi pengguna daripada sebarang amalan manipulasi harga atau iklan yang mengelirukan.

“Pemantauan akan dipergiatkan sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri bagi memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara,” katanya kepada pemberita di Benoni, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pangiran Saifuddin Pangiran Tahir Petra.

Armizan berkata, selain memantau harga barangan kawalan, fokus utama operasi itu adalah memastikan bekalan barangan keperluan asas seperti gula, ayam, telur, minyak masak dan tepung gandum sentiasa mencukupi di pasaran.

Menurutnya, Ops Pantau turut memberi penekanan terhadap pemantauan jualan dalam talian berikutan perubahan ketara trend kepenggunaan dalam kalangan masyarakat.

“Pembelian secara dalam talian semakin meningkat. Oleh itu, aspek pematuhan terhadap perihal dagangan dan promosi perlu dipantau bagi memastikan tiada iklan mengelirukan pengguna, termasuk kelewatan penghantaran yang tidak munasabah berbanding tempoh yang diiklankan,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011, termasuk pemantauan terhadap premis yang menawarkan promosi jualan murah bagi memastikan tiada amalan mengelirukan atau menyalahi peraturan.

Mengulas prestasi penguatkuasaan, Armizan memaklumkan sebanyak 70,906 premis diperiksa di seluruh negara sepanjang Ops Pantau tahun lalu, dengan 390 kes direkodkan. Di Sabah, sebanyak 3,403 premis diperiksa dan 37 kes direkodkan.

“Antara kesalahan utama dikesan ialah kegagalan mempamerkan tanda harga, kesalahan timbang dan sukat, serta penjualan barangan kawalan melebihi harga yang ditetapkan, termasuk di bawah skim harga maksimum musim perayaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan melalui platform rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil segera.

–TAMAT