Home » RM6.9 bilion bukti keyakinan persekutuan terhadap kepimpinan Hajiji
Berita GRS Politik

RM6.9 bilion bukti keyakinan persekutuan terhadap kepimpinan Hajiji

Aktivis politik Pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah



KOTA KINABALU : Peruntukan pembangunan berjumlah RM6.9 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2026 mencerminkan keyakinan penuh Kerajaan Persekutuan terhadap keupayaan kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam menerajui pembangunan negeri.

Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Aksyah Nasrah, berkata peruntukan besar itu bukan sekadar angka, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap pelan pembangunan menyeluruh yang sedang dilaksanakan di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, peningkatan pemberian khas kepada Sabah daripada RM300 juta pada 2023 kepada RM600 juta juga merupakan langkah bersejarah yang menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memenuhi keperluan sebenar rakyat negeri ini.

“Belanjawan kali ini jelas menggambarkan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap Sabah. Pemberian khas ini akan menjadi pemangkin penting kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah SMJ yang menjadi teras hala tuju pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Aksyah yang juga merupakan  aktivis pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, tambahan peruntukan itu akan mempercepat pelaksanaan projek-projek berimpak besar terutama dalam menyelesaikan isu asas infrastruktur seperti jalan raya, air dan kemudahan luar bandar yang sekian lama menjadi keluhan rakyat.

“Dengan tambahan peruntukan ini, saya yakin banyak isu pembangunan infrastruktur akan dapat dituntaskan. Sebab itu saya tidak hairan apabila ada pihak pembangkang cuba menabur janji mampu menyelesaikan semua masalah dalam satu hingga tiga tahun. Realitinya, ia tidak semudah itu,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa mandat berterusan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) penting bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar fizikal dan bukan fizikal sebagaimana digariskan dalam pelan SMJ 2.0.

“Menjadi tanggungjawab rakyat untuk menilai dan mengekalkan kerajaan hari ini kerana ia berpaksikan hati, jiwa dan nadi rakyat tempatan. Rakyat kini semakin matang dalam menentukan kerajaan terbaik untuk masa depan negeri,” jelasnya.

Menurut Aksyah, dakwaan kononnya hanya Barisan Nasional (BN) mampu membangunkan Sabah atau Parti Warisan (WARISAN) tidak sempat melaksanakannya perlu dilihat dalam konteks tempoh pentadbiran yang berbeza.

“Hajiji hanyalah insan biasa, tetapi beliau mempunyai kebijaksanaan dan pengalaman tinggi dalam kepimpinan. Untuk melihat keberhasilan dasar yang beliau ilhamkan, ia memerlukan tempoh optimum sekurang-kurangnya tiga penggal pentadbiran ,sama seperti BN sebelum ini,” katanya.

— TAMAT