KOTA MARUDU: Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, turun padang menziarahi mangsa insiden lantai rumah roboh di Kampung Tanjung Batu, di sini, pada Selasa.
Dalam lawatan tersebut, Redonah bersama rombongan menziarahi Puan Haninah Munap serta dua lagi mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Menurut Redonah, beliau bersyukur kerana tiada kecederaan serius dilaporkan walaupun kejadian berlaku secara mengejut.
“Syukur alhamdulillah, walaupun kejadian ini berlaku tanpa diduga, tiada kecederaan serius dialami. Marilah kita sama-sama mendoakan agar semua mangsa sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT serta dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Program ziarah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Ziarah Sayang, yang dilaksanakan bagi mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya mereka yang berdepan dengan musibah.
Kehadiran Redonah, yang juga Timbalan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama rombongan disambut baik oleh penduduk setempat. Mereka menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan kepimpinan dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.
— TAMAT



























Add Comment