Home » Rosman patut malu Bung masih kekal ketua meskipun terpalit kes rasuah – Zulkarnain
Berita GRS Politik

Rosman patut malu Bung masih kekal ketua meskipun terpalit kes rasuah – Zulkarnain

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – ⁠Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman sepatutnya malu dengan kepimpinan tertinggi parti kerana masih mengekalkan Datuk Seri Bung Moktar sebagai ketuanya.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, meskipun Bung sedang bergelut dengan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta namun tiada siapa pun dalam UMNO mendesaknya untuk berundur.

“⁠Kenyataan terkini Datu Rosman kononnya Datuk Seri Hajiji Noor sedang menghadapi ‘krisis kepercayaan’ dan keraguan selepas video beberapa ADUN Sabah menerima wang tular.

“Sebenarnya kenyataan Datu Rosman itu seolah-olah meludah ke langit terkena muka sendiri,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, media melaporkan Rosman menggesa Ketua Menteri Sabah mempertimbangkan semula kedudukan mana-mana anggota pentadbiran yang terpalit dalam skandal rasuah lesen perlombongan.

Rosman berkata, Hajiji sedang menghadapi ‘krisis kepercayaan’ sementara rakyat pula meragui kredibiliti Kerajaan Negeri Sabah.

Zulkarnain juga berkata, rakyat sebenarnya telah hilang kepercayaan dan menjauhkan diri daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan bukannya Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ini adalah fakta dan bukannya retorik,” katanya.

Selain itu, Zulkarnain mengingatkan Rosman, gesaan beliau itu tidak relevan apatah lagi tiada seorang pun anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah yang terpalit dalam skandal rasuah lesen perlombongan didakwa di mahkamah.

“Belum ada satu pun pendakwaan dibuat ke atas mana-mana pihak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini.

“⁠Kerajaan Negeri Sabah sejak dari awal lagi dilihat bekerjasama rapat dengan SPRM bahkan laporan polis dan SPRM telah dibuat bagi merungkai tuduhan yang dibuat oleh pihak yang mendakwa dirinya sebagai whistleblower,” katanya.

Katanya lagi, sepatutnya Rosman menghargai usaha Hajiji yang lebih awal membatalkan lesen mineral yang diberikan kepada whistleblower setelah didapati berlaku penipuan.

“⁠Tidak ada yang perlu disembunyikan malah tindakan berani Hajiji membatalkan lesen mineral berjumlah 13 melalui pemalsuan dokumen termasuk cubaan memohon lesen mineral seluas sejuta ekar tanah sewajarnya diberikan pujian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

— Nizam Zain 

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment