KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri mengalu-alukan peruntukan tambahan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah air di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata peruntukan itu akan membantu mengurangkan masalah bekalan air yang dihadapi Sabah ketika ini.
“Pengumuman ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan Persekutuan benar-benar prihatin terhadap Sabah kerana peruntukan itu adalah tambahan kepada RM320 juta yang diluluskan Perdana Menteri untuk kita pada 1 Jun tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hajiji berkata pembiayaan itu juga akan mempercepatkan tindakan semasa yang sedang dilaksanakan bagi menangani masalah air.
“Ini adalah berita baik kerana perancangan sudah dibuat untuk tindakan serta tempoh mada bagi memastikan Jabatan Air dapat menyelesaikan isu air di negeri ini,” katanya.
Anwar semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat mengumumkan peruntukkan tambahan berjumlah RM800 juta untuk penyelesaian jangka pendek masalah air di Sabah dan Kelantan dalam usaha memastikan penduduk di dua negeri itu mempunyai akses kepada bekalan air bersih yang konsisten dan berkualiti.
Add Comment