Home » Sabah antara lima negeri teratas dalam pelaksanaan projek dan program pembangunan
Berita GRS Politik

Sabah antara lima negeri teratas dalam pelaksanaan projek dan program pembangunan

Hajiji semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada Khamis di sini.

KOTA KINABALU: Sabah merupakan antara lima negeri teratas di negara ini dari segi  penyempurnaan projek dan program pembangunan, kata Ketua Menteri Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Berdasarkan laporan MyProjek, beliau berkata sejumlah 1,271 projek, merangkumi 396  projek sambungan dan 876 projek baharu sedang dilaksanakan di negeri ini pada tahun  ini. 

“Daripada jumlah itu, 1,171 projek atau bernilai RM5.584 bilion adalah projek fizikal,  manakala 100 projek lagi bernilai RM355.24 juta adalah projek bukan fizikal,” katanya. 

“Saya menyeru semua pihak agar terus mempertingkatkan usaha untuk memastikan  Sabah muncul negeri terbaik dalam pelaksanaan projek dan program pembangunan di  Malaysia,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan  Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada Khamis di sini.

Walaupun pencapaian ini membanggakan, Ketua Menteri menegaskan bahawa ia tidak  sepatutnya menjadi alasan untuk leka dan memperlahankan momentum pemantauan  terhadap program atau projek kerajaan. 

“Sebaliknya, pencapaian ini harus dijadikan sebagai indikator untuk kita bekerja lebih  keras dalam menambah baik dan menyelesaikan setiap program dan projek dengan  lebih cepat, tepat dan teratur, seterusnya memberikan manfaat kepada seluruh rakyat  Sabah,” katanya. 

Hajiji berkata pelaksanaan program dan projek tidak seharusnya hanya digalas oleh  agensi utama semata-mata, sebaliknya semua agensi dan kementerian perlu  memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan. 

Ketua Menteri turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah berusaha memperkukuh  tadbir urus kewangan negeri melalui penambahbaikan prosedur dan garis panduan  pengurusan kewangan. 

Ini dilaksanakan melalui penilaian dan mengambil kira tatacara perolehan dan  pelantikan konsesi sebagai satu mekanisme membendung masalah pembangunan di  negeri Sabah, katanya.

“Di samping itu, setiap agensi dan kementerian perlu lebih kerap memantau penyaluran  peruntukan yang telah diberikan bagi memastikan ia dibelanjakan sepenuhnya dan  memberi manfaat kepada rakyat Sabah. 

“Pembayaran kepada kontraktor dan perunding juga mesti dilakukan dengan cepat,  tepat dan teratur agar pelaksanaan projek di negeri ini tidak terganggu atau mengalami  kelewatan,” katanya. 

Ketua Menteri turut mengingatkan ahli MTPNg agar memastikan segala keperluan  pembangunan yang mendesak dapat ditangani dengan segera. 

Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga komited melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah  Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya untuk melaksanakan program peningkatan  pendapatan dan produktiviti dalam menangani isu miskin dan miskin tegar yang dinamik. 

“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan, tetapi juga  berusaha membantu golongan sasar agar berjaya keluar daripada kemiskinan. 

“Keprihatinan kita juga jelas melalui usaha dan kerja keras yang berterusan dalam  memastikan setiap agenda negara mahupun negeri dipatuhi, diperbaiki dan  dipertingkatkan,” katanya. 

Hajiji berkata penyediaan berterusan keperluan dan kemudahan kepada rakyat melalui  penaiktarafan kemudahan awam, kemudahan asas, infrastruktur sosial serta bantuan  perkhidmatan sosial telah memberikan manfaat yang berganda kepada golongan miskin  di Sabah. 

Selain itu, beliau menyatakan bahawa teras Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat  dalam pelan pembangunan SMJ juga memfokuskan kepada membangunkan potensi  rakyat Sabah melalui pendidikan, latihan, dan kesejahteraan sosial. 

“Ini termasuk inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup, menyediakan peluang pendidikan  dan memperkasa modal insan secara menyeluruh, di samping mendidik masyarakat  agar lebih cakna dan cenderung untuk turut serta, dan kerap membantu atau  menyumbang kepada pelaksanaan program-program yang memberi manfaat kepada  golongan sasar seperti golongan miskin dan miskin tegar ini,” katanya. 

–Tamat