KOTA KINABALU:Ekonomi Sabah terus menunjukkan prestasi kukuh apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri itu meningkat daripada RM77.8 bilion pada 2020 kepada RM84.3 bilion pada 2024, sekaligus mencatat tahap tertinggi sejak pandemik COVID-19.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan dasar fiskal dan tadbir urus berhemah kerajaan negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Peningkatan ini menunjukkan daya tahan ekonomi Sabah walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan cabaran pasaran komoditi. Ia hasil pengurusan hasil yang cekap serta sistem kutipan yang efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Menurut Hajiji, momentum pertumbuhan negeri dijangka terus mengukuh pada 2025 dan 2026 dengan unjuran peningkatan 1.5 hingga 2 peratus, disokong oleh pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi di bawah Hala Tuju SMJ 2.0.
Kerajaan juga berjaya mengekalkan kadar inflasi Sabah pada 1.2 peratus pada 2024, lebih rendah daripada kadar inflasi nasional 1.8 peratus — antara petunjuk kestabilan harga yang terbaik dalam negara.
“Langkah ini dicapai menerusi pelbagai inisiatif rangsangan termasuk Skim Pinjaman Kredit Mikro dengan pembiayaan bernilai RM2.37 juta kepada 1,210 usahawan kecil dan sederhana,” katanya.
Melangkah ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula 2026, Sabah kekal antara negeri penerima peruntukan pembangunan tertinggi dengan jumlah RM6.9 bilion bagi tahun pertama pelaksanaannya.
“Kabinet Negeri telah meluluskan siling perbelanjaan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion meliputi 1,173 program dan projek — jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sedang memperkukuh sistem tadbir urus melalui Amalan Baik Peraturan, dengan 48 Rang Undang-Undang (RUU) baharu dan pindaan diluluskan sejak lima tahun lalu bagi meningkatkan kecekapan peraturan dan perkhidmatan awam.
Untuk memastikan integriti pentadbiran negeri, kerajaan menubuhkan Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) pada Julai 2022 bagi memantau pematuhan tatakelola kerajaan.
Kerajaan turut mengorak langkah ke arah pendigitalan penuh perkhidmatan awam menerusi pembangunan Sabah Data Integration and Interchange Platform (DIIP) di bawah Pelan Strategik Pendigitalan Kerajaan Negeri.
“Sebanyak 290 sistem aplikasi telah dibangunkan dan 53 projek pendigitalan sedang dilaksanakan, manakala lebih 10,000 akaun Google Workspace digunakan oleh penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan kesalinghubungan,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah terus menarik pelaburan besar dengan jumlah keseluruhan RM24.9 bilion daripada 87 pelabur asing dan domestik sejak 2021.
Antara pelaburan utama termasuk:
i.RM6.59 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Fasa 1),
ii.RM4.29 bilion oleh SK Nexilis, dan
iii.RM3.43 bilion oleh SBH Kibing Solar.
Selain itu, operasi PETRONAS di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) turut membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Sabah sebagai hab industri tenaga utama.
“Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 38,000 peluang pekerjaan kepada anak Sabah,” katanya.
Melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada 2021, Sabah kini menikmati penglibatan lebih besar dalam industri minyak dan gas.
Sabah Energy Corporation (SEC) kini menjadi pembekal utama gas domestik dengan kapasiti melebihi 250 juta kaki padu sehari, menjana hasil lebih RM2.5 bilion setahun, manakala SMJ Energy Sdn Bhd mencatat lonjakan nilai kepada RM5 bilion dalam tempoh tiga tahun dengan aset RM4.9 bilion dan keuntungan RM307 juta.
Dalam sektor pelancongan, Sabah menerima 10.67 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan RM23.42 bilion antara 2021 hingga 2025.
Projek pelancongan bertaraf antarabangsa seperti Club Med Borneo Kuala Penyu, Sheraton Kota Kinabalu, InterContinental Papar, Hilton Garden Inn Tuaran dan Hyatt Centric Kota Kinabalu mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi utama Asia Tenggara.
Dalam pendidikan, kerajaan memperuntukkan RM1.02 bilion bagi tabung pendidikan dalam tempoh lima tahun, termasuk RM145 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang memberi manfaat kepada 12,763 pelajar, selain 37 pelajar UEC yang turut menerima biasiswa khas.
Dari segi infrastruktur, sebanyak RM4.89 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan raya sepanjang 22,858 kilometer, selain 90 Loji Rawatan Air kini beroperasi dengan kapasiti pengeluaran meningkat kepada 1,630 juta liter sehari.
“Majlis Tenaga Negeri Sabah turut meluluskan 11 projek tenaga baharu dengan kapasiti 1,219 megawatt menjelang 2031 — jaminan bekalan elektrik mencukupi untuk masa depan,” katanya.
–TAMAT

























Add Comment