Home » Sokongan penjawat awam dorong kejayaan Hala Tuju SMJ 1.0 :Hajiji
Berita GRS Politik

Sokongan penjawat awam dorong kejayaan Hala Tuju SMJ 1.0 :Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar bersama penjawat awam selepas majlis Konvensyen Penjawat Awam Sabah di SICC.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menzahirkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam negeri dan Persekutuan di Sabah atas sokongan padu serta komitmen mereka yang menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 sepanjang lima tahun pentadbirannya.

Hajiji berkata, sejak menerajui kerajaan negeri, kerjasama erat antara pimpinan politik dan penjawat awam menjadi asas penting kepada kemajuan pentadbiran Sabah, terutama ketika negeri berdepan pelbagai cabaran seperti ketidakstabilan politik, pandemik COVID-19, tekanan ekonomi global dan perubahan iklim.

“Kalau dahulu saya hanya menakhoda sebuah kementerian, kini saya menakhoda sebuah kerajaan. Ia pengalaman yang sangat bermakna dan luar biasa. Kejayaan Hala Tuju SMJ 1.0 ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu penjawat awam,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah bersempena Hari Kualiti Sedunia, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa di sini.

Hajiji berkata, kejayaan SMJ 1.0 menjadi asas kukuh untuk melangkah ke fasa baharu pelan pembangunan negeri, Hala Tuju SMJ 2.0, yang bakal memperkukuh strategi pertumbuhan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

“Asas kukuh yang telah dibina perlu kita lanjutkan dalam SMJ 2.0 bagi mencipta kejayaan yang lebih besar. Saya yakin penjawat awam akan terus memainkan peranan utama dalam menjayakan pelan pembangunan ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau meninjau serta melawat semua kementerian, jabatan dan agensi bagi menilai prestasi dan mendengar sendiri maklum balas di lapangan.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri memperkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember 2024, yang melibatkan unjuran perbelanjaan tambahan sebanyak RM150 juta.

Melalui sistem ini, penjawat awam negeri akan menikmati kenaikan gaji antara tujuh hingga 15 peratus secara berfasa dari 2024 hingga 2026, mengikut kumpulan perkhidmatan.

Selain itu, beberapa bantuan khas turut disalurkan sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada penjawat awam, antaranya:

i.Bonus sebulan gaji atau minimum RM3,000 pada Januari 2025

ii.Bantuan khas Hari Raya Aidilfitri RM500

iii.Bantuan khas Pesta Kaamatan RM500

“Jumlah keseluruhan minimum RM4,000 ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah bantuan kepada penjawat awam negeri — manifestasi penghargaan kerajaan terhadap dedikasi dan integriti mereka,” katanya.

Kerajaan negeri turut memperkenalkan Insentif Percutian (i-Cuti) bagi pegawai yang berkhidmat 20 tahun atau lebih, melibatkan 8,757 pegawai dengan kos RM17.7 juta.

Hajiji turut mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan bersetuju mempertimbangkan penaiktarafan 5,537 jawatan sementara dan kontrak kepada jawatan tetap secara berfasa — langkah yang bakal memperkukuh struktur pentadbiran negeri.

Beliau turut memuji pengumuman Perdana Menteri mengenai pemberian khas RM500 kepada penjawat awam Persekutuan menjelang Aidilfitri 2026, sambil menegaskan kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan insentif serupa dalam Bajet Negeri 2026, dengan kemungkinan jumlah lebih tinggi bergantung kepada kemampuan kerajaan.

“Mudah-mudahan kerajaan ini akan terus mendapat mandat baharu daripada rakyat supaya kita dapat meneruskan program pembangunan dan agenda kebajikan yang telah dirancang,” katanya.

— TAMAT