Home » Sabah catat pelaburan RM11.5 bilion pada 2022 – Tengku Zafrul
Uncategorized

Sabah catat pelaburan RM11.5 bilion pada 2022 – Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata ia melibatkan 89 buah projek dan bakal menjana 4,566 jumlah peluang pekerjaan.

KUALA LUMPUR: Negeri Sabah mencatatkan pelaburan sebanyak RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi pada tahun 2022, Dewan Negara diberitahu semalam.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia melibatkan 89 buah projek dan bakal menjana 4,566 jumlah peluang pekerjaan.


“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan tersebut, sebanyak RM9.2 billion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM2.3 billion adalah pelaburan langsung domestik.


“Sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM8.4 bilion atau 72.9 peratus manakala sektor utama menyumbang RM1.6 bilion dan sektor perkhidmatan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Noraini Idris mengenai jumlah pelaburan ekonomi negeri Sabah bagi 2022 serta sektor yang terlibat.


Selain itu, Tengku Zafrul berkata projek berprofil tinggi bernilai lebih RM100 juta adalah terutamanya dalam sektor produk petroleum, produk mineral bukan logam dan peralatan pengangkutan.


Sementara itu, beliau berkata kementeriannya menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk menarik FDI ke Malaysia termasuk di negeri Sabah khususnya bagi industri-industri yang disasarkan.


“Dalam hal ini, MIDA sentiasa bekerjasama secara strategik dengan semua agensi pelaburan di peringkat negeri dan Koridor Ekonomi dalam menarik pelaburan.


“MIDA sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE Sabah) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di dalam misi pelaburan dan perdagangan untuk mempromosikan peluang-peluang pelaburan yang terdapat di negeri Sabah,” katanya.


Antara sektor ekonomi baharu yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan di Sabah yang dikenalpasti sebagai industri yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah seperti sektor perkilangan berasaskan teknologi hijau dan mesra alam; industri tenaga yang boleh diperbaharui; pembangunan sektor perkhidmatan logistik dan sektor ekopelancongan.


BERNAMA