Home » Sabah dijangka menerima pelaburan berjumlah RM58.3 bilion
Berita GRS Politik

Sabah dijangka menerima pelaburan berjumlah RM58.3 bilion

TINJAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Menteri MIDE, Datuk Phoong Jin Zhe melihat produk yang dipamerkan sebelum mesyuarat bermula.

KOTA KINABALU: Pelaburan asing dan domestik yang diluluskan secara keseluruhan di Sabah dalam sektor pembuatan sejak September 2020 dianggarkan berjumlah RM17.41 bilion daripada 73 syarikat.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Datuk Thomas Logijin berkata, daripada 73 syarikat itu, sebanyak 52 syarikat telah pun beroperasi di negeri ini dengan pelaburan keseluruhan sebanyak RM7.8 bilion, sekali gus mencipta 3,636 pekerjaan.

Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja Ketua Menteri ke Kementerian berkenaan pada Isnin di sini.

Lawatan kerja ke MIDE menandakan lawatan Ketua Menteri ke semua kementerian negeri bermula tahun lalu untuk mendengar kemajuan dan pelaksanaan program yang sedang berjalan dan pelan baharu.

Logijin berkata, sejak 2022 sehingga 2024, Sabah juga menerima cadangan pelaburan tambahan baharu RM42.3 bilion yang menawarkan 32,996 pekerjaan, termasuk daripada Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (RM19.6 bilion), yang sedang dimuktamadkan.

Menurutnya, Esteel telah pun menerima Lesen Pembuatan Persekutuan (FML) pada 24 Januari tahun ini untuk projek Fasa Satu yang berjumlah RM5.77 bilion di Taman Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Beliau berkata, yang lain termasuk Curix Sdn Bhd (KKIP), Barisan pengeluaran ketiga Kibing Group (KKIP), Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd (SOGIP) dan E Concern (Borneo) Sdn Bhd (SOGIP).

Logijin berkata, MIDE juga sedang menyelaras cadangan pelaburan terkini daripada Kibing Group di Kimanis, TS Asia Green Infrastructure Sdn Bhd di POIC Lahad Datu dan PMB Technology/Press Metal di Sipitang.

“Secara keseluruhan, Sabah dijangka mendapatkan pelaburan berjumlah RM58.319 bilion,” katanya.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment