KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP), Glenna Wong menyambut baik seruan Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun yang mencalonkan 10 wanita sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 kepada kepimpinan utama dalam gabungan itu.
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja menonjolkan penekanan GRS terhadap penyertaan wanita dalam politik, tetapi juga menunjukkan komitmen mereka dalam mempromosikan kesaksamaan jantina.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita sedia ada ialah ADUN Matunggong, Datuk Julita Majungki (Parti Bersatu Sabah), ADUN Tulid, Datuk Flovia Ng (Parti Solidariti Tanah Airku), ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif (Parti Gagasan Rakyat Sabah) dan ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal (Parti Harapan Rakyat Sabah).
Glenna berkata, sokongan terhadap calon wanita merupakan strategi penting untuk memacu pembangunan menyeluruh di Sabah.
“Mereka yang dicalonkan mestilah berkelayakan dan aktif dalam berkhidmat kepada rakyat.
“Saya percaya bahawa kesemua 10 calon yang dicalonkan oleh GRS layak untuk bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.
Beliau berkata, wanita sering membawa perspektif unik dalam pembentukan dasar, terutamanya dalam bidang seperti pendidikan, kebajikan sosial dan dasar kekeluargaan.
“Dengan meningkatkan jumlah wakil wanita, GRS berharap dapat membawa lebih banyak suara daripada akar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan merangka dasar yang lebih inklusif.
“Peranan wanita dalam membuat keputusan politik adalah penting kerana mereka membawa perspektif yang lebih inklusif dan pelbagai bagi memacu dasar sosial yang lebih adil.
“Usaha GRS untuk memberi lebih banyak peluang kepada wanita dalam politik mencerminkan pemikiran progresif sebuah parti politik moden, sebagai usaha untuk menyuntik nafas baharu dalam pembangunan demokrasi di Sabah,” katanya.
Glenna berharap agar calon wanita ini mendapat sokongan yang lebih luas dan dapat menunjukkan kepimpinan mereka dalam PRN Sabah ke-17 serta merealisasikan tadbir urus dan dasar yang lebih baik untuk rakyat.
Sementara itu, beliau turut menyeru semua sektor agar menyokong penyertaan aktif wanita dalam hal ehwal awam bagi mencapai pembangunan sosial yang lebih adil dan harmoni.
–Yap Siong Han
Add Comment