Home » Sabah dijangka terima lebih 1.7 juta pelancong tahun ini
Uncategorized

Sabah dijangka terima lebih 1.7 juta pelancong tahun ini

RASMI: Hajiji (tengah), Tiong (kanan) dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan (kiri) bersama-sama menyempurnakan gimik perasmian majlis berkenaan.

KENINGAU: Kerajaan negeri yakin mampu menarik sejumlah lebih 1.7 juta kehadiran pelancong tahun ini memandangkan kedatangan pengunjung semakin meningkat sejak sempadan dibuka.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah berjaya mendaftarkan sejumlah 792,899 pengunjung pada Januari sehingga April 2023, jumlah itu terdiri daripada 565,424 pelancong domestik dan 227,475 pelancong antarabangsa, sekali gus menandakan peningkatan sebanyak 94.1 peratus berbanding hanya 408,530 dalam tempoh sama tahun lalu.


“Ia adalah petanda baik untuk Sabah memandangkan kita akan terus memperkasakan rangkaian udara ke negeri ini, bagi menambah jumlah penerbangan kini iaitu 100 penerbangan antarabangsa setiap minggu dengan jumlah kapasiti penumpang 18,164, sementara penerbangan domestik sebanyak 366 dengan kapasiti penumpang 60,303,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Komuniti di sini, semalam.


Hajiji berkata, kerajaan negeri komited membangunkan sektor pelancongan dengan menaik taraf kemudahan asas untuk keselesaan serta keselamatan pelancong.

Pada masa sama, pengusaha Pelancongan berasaskan komuniti juga akan didedahkan dengan program meningkatkan kemahiran.


Katanya, kerajaan negeri memberikan keutamaan kepada pelancongan berasaskan komuniti dan mahu ia diperluaskan ke seluruh negeri agar lebih ramai pengusaha di kawasan pedalaman memperolehi manfaat dalam peluang ekonomi ini.

Katanya, pada 2019, dua projek pilot pelancongan berkenaan telah dibangunkan di Kiulu Tuaran dan Kadamaian Kota Belud. 


Menurutnya, projek di Kiulu menampakkan pembangunan positif apabila berjaya menjana RM5.45 juta pendapatan dan menarik sejumlah 54,000 pengunjung serta mewujudkan sebanyak 300 peluang pekerjaan.


Sementara di Kadamaian katanya, projek berkenaan berjaya menjana RM2.57 juta pendapatan, menarik 217,000 pengunjung dan mewujudkan 251 peluang pekerjaan.


“Sejak projek berkenaan diguna pakai di daerah-daerah di Sabah, termasuk kawasan pedalaman dan Keningau, ia telah menjadi tarikan utama pelancong yang minat menikmati perjalanan yang mencabar, kebudayaan, persekitaran, makanan serta sejarah.


“Oleh yang demikian, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar telah memperuntukan sejumlah RM10 juta dibawah inisiatif Sabah New Deal, khusus untuk memulihkan kemudahan asas pelancongan di kawasan luar bandar yang memberikan manfaat bukan sahaja Keningau, tetapi juga Nabawan, Tenom dan Tambunan.
 
“Kita juga berbangga kerana negeri seperti Terengganu, Melaka, Sarawak dan Pahang kini menjadikan Sabah sebagai contoh untuk membangunkan industri pelancongan luar bandar.


“Kita yakin menjelang 2030, Sabah akan mencapai 80 peratus sasaran standard ASEAN untuk pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini,” katanya.


Menurutnya, sehingga kini Sabah berjaya memenangi pelbagai anugerah seperti ASEAN Community Based Tourism, Award, ASEAN Homestay Award, World Tourism Organisation (UNWTO) Best Village Tourism dan World Crafts Council Award bagi kecemerlangan penghasilan kraftangan bagi wilayah Asia Pasifik.


“Saya berharap program MOTAC bersama Komuniti Keningau akan menggalakkan lagi penglibatan masyarakat dalam kesenian, kebudayaan, warisan dan aktiviti-aktiviti kebudayaan tempatan untuk diperkenalkan kepada pelancong asing.


“Ia dilihat sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan sektor pelancongan tempatan dan meningkatkan kesedaran awam mengenai Tahun Melawat Malaysia 2025 serta Kempen Cuti-Cuti Malaysia, yang akan menjana pendapatan kepada industri pelancongan Sabah dan Malaysia,” katanya.


Hajiji turut berterima kasih kepada Menteri MOTAC Datuk Seri Tiong King Sing kerana sudi memperuntukan RM2 juta bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Keningau.

EDITOR