Home » Sabah formalisasi pegangan 25 Peratus dalam PETRONAS PFLNG 3
Berita GRS Politik

Sabah formalisasi pegangan 25 Peratus dalam PETRONAS PFLNG 3

Majlis menandatangani Kepala Perjanjian (Heads of Agreement, HoA) bagi pengambilalihan tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, di Kuala Lumpur pada 17 Julai 2025.

KOTA KINABALU: Sabah telah memformalisasikan pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, satu langkah strategik yang memperkukuh sinergi antara negeri dan syarikat petroleum nasional, PETRONAS, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pembangunan industri minyak dan gas negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pengambilalihan itu bukan sahaja mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak, tetapi juga membuka ruang baharu bagi kerjasama masa hadapan dalam sektor tenaga.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan negeri Sabah, tetapi juga membuka potensi bagi kerjasama seumpama ini pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Majlis menandatangani Kepala Perjanjian (Heads of Agreement, HoA) bagi pengambilalihan tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, di Kuala Lumpur pada 17 Julai 2025.

Sabah, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), menandatangani perjanjian muktamad dengan PETRONAS LNG Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS, bagi memformalisasikan pengambilalihan 25 peratus pegangan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, yang juga dikenali sebagai ZLNG.

Perjanjian itu adalah susulan kepada Kepala Perjanjian (Heads of Agreement) yang ditandatangani pada 17 Julai lalu di Kuala Lumpur, disaksikan sendiri oleh Hajiji dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Projek PETRONAS PFLNG 3 melibatkan pembangunan kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (Floating Liquefied Natural Gas – FLNG) bernilai USD3.1 bilion, yang kini sedang dibangunkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Kemudahan itu dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun 2027 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2 juta tan setahun (2.0 MTPA), menjadikannya antara pelaburan tenaga terbesar di Sabah setakat ini.

Langkah ini menambah lagi portfolio pelaburan strategik SMJ Energy, yang kini memegang pelbagai kepentingan penting dalam sektor tenaga negeri, termasuk:

50% penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract

10% kepentingan ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd

25% ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (SAMUR)

Pemilikan penuh ke atas Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mengendalikan aset Floating Production Storage and Offloading (FPSO) dan Floating Storage and Offloading (FSO)

Selain itu, SMJ Energy turut memegang hak “free carry dan back-in rights” dalam beberapa blok penerokaan minyak dan gas iaitu SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%) dan SB306B (15%).

Pengambilalihan ini sekali lagi membuktikan keazaman kerajaan Sabah di bawah pimpinan Hajiji untuk memperkukuh autonomi pengurusan hasil bumi negeri serta memastikan rakyat Sabah menikmati manfaat langsung daripada kekayaan sumber asli.

Dengan penglibatan aktif SMJ Energy dalam sektor strategik ini, Sabah kini berada di landasan kukuh untuk menjadi pemain utama dalam industri minyak dan gas negara, di samping menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada rakyat.

— TAMAT