Home » Sabah kekal formula kerjasama GRS-PH hadapi PRN17
Berita GRS Politik

Sabah kekal formula kerjasama GRS-PH hadapi PRN17

KERJASAMA: Hajiji (tengah) bersama Joachim (empat kiri), Masidi (tiga kiri), Abidin (empat kanan) dan tetamu jemputan lain merakamkan kenangan bersama orang ramai yang menghadiri majlis itu.

RANAU: Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju untuk mengekalkan formula kerjasama sedia ada dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sejarah membuktikan sesebuah kerajaan negeri itu memerlukan hubungan yang kukuh dengan kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu katanya, hubungan erat kerajaan neegri dengan Persekutuan adalah demi kestabilan.

“Kita berharap rakyat memahami bahawa kita sedang melakukan yang terbaik untuk membawa kemakmuran kepada mereka,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Bandar Baharu Paginatan di Memorial Nunuk Ragang, pada Selasa di sini.

Hajiji berkata, rekod pencapaian kerajaan GRS-PH dalam membawa kemajuan kepada Sabah terbukti dengan lebih 400 inisiatif di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu kira-kira 94 peratus daripadanya berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, perkara itu bertentangan dengan dakwaan pembangkang yang menurutnya bertujuan menipu rakyat.

Katanya, Kerajaan GRS-PH meluluskan pelbagai program bantuan untuk pembangunan pendidikan negeri dan kesejahteraan rakyat, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini.

“Tahun ini sahaja, kita memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar, dan inisiatif ini akan diteruskan jika rakyat mengembalikan mandat kepada GRS-PH pada pilihan raya akan datang.

“Kerajaan GRS-PH turut berjaya mendapatkan penyertaan yang lebih besar dalam sektor minyak dan gas melalui pemeteraian bersejarah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS pada 2021.

“Selain itu, kerajaan negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) komited meneruskan agenda menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar di negeri ini melalui program pembangunan bandar baharu,” katanya.

Beliau berkata, Projek Bandar Baharu Paginatan yang sudah lama dinantikan dijangka memacu ekonomi tempatan di kawasan itu.

Menurutnya, ia selaras dengan Pelan Pembangunan SMJ yang pada intinya sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka. 

Katanya, bandar baharu seluas 200 ekar yang terletak kira-kira 43 kilometer (km) dari sini akan dibangunkan dalam lima fasa, melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan penting termasuk pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serbaguna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba.

“Apabila siap kelak, penduduk di Paginatan tidak lagi perlu ke Ranau atau Telupid untuk berurusan dengan jabatan kerajaan,” katanya.

Hajiji juga memberi jaminan isu-isu yang dihadapi rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan Datuk Abidin Madingkir, akan diberi perhatian.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Kundasang Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Kewangan merangkap ADUN Karanaan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.