KEPUTUSAN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengekalkan kerjasama strategik dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri KE-17 (PRN17) merupakan langkah pragmatik yang mencerminkan keperluan realiti politik semasa dan kehendak rakyat yang mendambakan kestabilan.
Ia adalah pantulan ikhtiar untuk mengekalkan momentum pembangunan dan kesinambungan dasar yang telah mula menunjukkan hasil di negeri ini.
Sabah memerlukan kestabilan politik untuk memacu pembangunan. Ketidakstabilan sebelum ini telah memberi kesan langsung terhadap pelaburan, pembangunan infrastruktur dan dasar yang menyentuh kepentingan rakyat.
Justeru, keputusan GRS dan PH mengekalkan kerjasama bukan sahaja boleh dilihat dari sudut politik tetapi juga dari sudut tanggungjawab moral terhadap rakyat yang mahukan kepimpinan konsisten dan tidak terjebak dalam permainan kuasa jangka pendek.
Gabungan GRS-PH membawa naratif kesatuan dalam kepelbagaian – satu refleksi tepat terhadap demografi Sabah yang kaya dengan pelbagai etnik, bahasa, dan budaya yang memerlukan pendekatan inklusif dan merentasi sempadan politik sempit.
Kerjasama ini juga mencerminkan semangat Persekutuan Malaysia, di mana perkongsian kuasa antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan menjadi kunci dalam menjayakan agenda pembangunan rentas wilayah.
Dari sudut strategik, keputusan ini memberikan kelebihan kompetitif di gelanggang pilihan raya kerana ia menyatukan undi di kalangan penyokong reformasi, autonomi negeri dan kestabilan nasional dalam satu platform yang lebih tersusun.
Gabungan ini juga mampu meminimumkan pertandingan pelbagai penjuru yang boleh memecah undi dan membuka ruang kepada pihak lawan yang lebih bersifat populis tetapi tiada dasar konkrit untuk Sabah.
Dalam konteks pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kerjasama GRS-PH INI memberi jaminan bahawa tuntutan Sabah terhadap hak-hak negeri akan terus diperjuangkan dalam kerangka federalisme yang seimbang dan konstruktif.
Selain itu, kerjasama ini juga meyakinkan pelabur bahawa Sabah mempunyai kepimpinan politik yang bersatu dan berwibawa untuk melaksanakan projek mega.
Kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor yang konsisten dalam membawa GRS ke arah politik matang, serta keterbukaan PH dalam menerima keperluan autonomi Sabah, mencerminkan kematangan politik kedua-dua pihak dalam meletakkan rakyat melebihi kepentingan parti.
Dari perspektif akar umbi, kerjasama ini membuka ruang lebih besar untuk penyelarasan antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sekaligus mempercepat proses penyaluran bantuan dan pembangunan kepada rakyat Sabah.
Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, Sabah memerlukan gabungan tenaga politik yang boleh bekerjasama, bukan bertelagah.
GRS dan PH telah menunjukkan keupayaan ini dalam pengurusan kewangan negeri, menarik pelaburan langsung asing dan menciptakan peluang pekerjaan.
Konfederasi ini juga menjadi contoh bahawa politik tidak semestinya perlu berasaskan perpecahan. Sebaliknya, ia boleh dibina atas semangat kompromi, kerjasama dan kesepakatan demi manfaat bersama.
Realiti sosial Sabah yang berbilang etnik dan agama memerlukan pendekatan politik yang tidak berasaskan ekstremisme atau retorik perkauman. Dalam hal ini, GRS dan PH menawarkan model inklusif yang lebih harmoni dan progresif.
Hakikatnya, Sabah sudah bersedia menjadi pemacu perubahan dalam landskap politik nasional – sebagai negeri yang menunjukkan bahawa konfederasi antara parti negeri dan nasional boleh wujud secara konstruktif dan saling menguntungkan.


























Add Comment