Home » Sabah sasar peroleh kontrak RM1 bilion tahun ini
Uncategorized

Sabah sasar peroleh kontrak RM1 bilion tahun ini

KUNJUNGAN: Hajiji (kanan) menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh di Rumah Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya.

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk memperoleh RM1 bilion pemberian kontrak tempatan atau 20 peratus daripada jumlah kontrak minyak dan gas tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri turut menetapkan agar sasaran berkenaan akan meningkat kepada 30 peratus untuk tahun depan.

Katanya, sehingga kini Sabah memperoleh kontrak tempatan mencecah RM564 juta iaitu bersamaan dengan 11 peratus jumlah perbelanjaan pada 2022.

Menurutnya, sektor minyak dan gas adalah keutamaan bagi Sabah dan pihaknya serius dalam pengambilan dan pembangunan bakat tempatan bagi sektor berkenaan.

“Keperluan untuk kandungan tempatan bertujuan mewujudkan pekerjaan, menggalakkan pembangunan perusahaan tempatan dan mempercepatkan pemindahan kemahiran serta teknologi, khususnya untuk sektor minyak dan gas.

“Di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mesra pelabur, Sabah menyasarkan untuk memperoleh tambahan aset huluan dan pengeluaran gas asli cecair (LNG) dan pada masa sama akan mempertimbangkan peluang tenaga hijau yang sesuai.

“Walaupun minyak dan gas akan menyediakan aliran hasil penting untuk negeri ini, kami juga mengalu-alukan pelabur untuk meneroka tenaga boleh diperbaharui seperti teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma, dan juga peluang pasaran karbon di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) Kali Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata, selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan, pihaknya menetapkan hala tuju yang jelas melibatkan keutamaan dalam pelan hala tuju pembangunan lima tahun Hala Tuju SMJ yang menggariskan hala tuju strategik baharu untuk pembangunan ekonomi Sabah.

“Hari ini, saya berbangga untuk mengatakan kami telah melakukan yang terbaik dan berada di landasan yang betul melihat kemajuan yang dicapai.

“Di sebalik cabaran ekonomi yang dihadapi bukan sahaja oleh negeri tetapi di peringkat global, Sabah berjaya mencapai hasil berjumlah RM6.960 bilion iaitu yang tertinggi dicatatkan setakat ini.

“Ini mewakili peningkatan 28 peratus daripada pencapaian tahun sebelumnya sebanyak RM5.449 bilion. Kami tidak akan berpuas hati tetapi akan terus melaksanakan dasar yang kukuh untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negeri ini, mewujudkan lebih banyak ‘spin-off’ ekonomi dan menggandakan usaha dalam menjana lebih banyak hasil melalui kaedah dan sumber baharu yang inovatif,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Sabah dijangka mengumpul hasil tambahan sebanyak RM2.45 bilion setiap tahun dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada sektor minyak dan gas.
 
Beliau berkata, setakat 31 Mei 2023, sebanyak RM715 juta berjaya dikutip dan sejak 2022, ekuiti 10 peratus Sabah dalam LNG9 memberi hasil berjumlah RM337 juta kepada Sabah setakat ini.

Hajiji berkata, Sabah mempunyai potensi besar dengan sumber minyak dan gas yang menghasilkan kira-kira 40 peratus minyak dan hanya di bawah 20 peratus gas di Malaysia.

“Negeri ini turut bekerjasama dengan pihak PETRONAS serta syarikat minyak dan gas antarabangsa dan syarikat tempatan untuk mewujudkan pelaburan langsung asing (FDI) yang menggalakkan dari huluan ke LNG kepada pembangunan hiliran domestik dan perkhidmatan minyak dan gas,” jelasnya.

EDITOR