KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus meningkatkan lagi kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang untuk manfaat bersama khususnya rakyat daripada kedua-dua negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata hubungan antara kedua-dua negara khususnya dengan Sabah adalah baik dan banyak manfaat telah diperoleh bersama.
“Kerajaan Negeri Sabah berharap dapat bekerjasama rapat dengan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu untuk membawa hubungan Sabah-China ke satu tahap lagi, yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
“Kita juga berkongsi kegembiraan dan harapan sempena Tahun Baharu Cina ini, dengan iltizam untuk terus meningkatkan hubungan baik antara Sabah dan China.
“China sentiasa menjadi jiran dan rakan yang terbaik. Hubungan antara kedua-dua negara adalah baik dan kita saling mendapat manfaat antara satu sama lain. Marilah kita meneruskan sinergi ini dan memanfaatkan kerjasama ini dalam pelbagai bidang,”
katanya sempena Resepsi Tahun Baharu Cina (Festival Musim Bunga) Konsulat Republik Rakyat China di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Khamis.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan memajukan agenda pembangunan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Di Malaysia dan di Sabah khususnya, kita berasa bangga kerana perayaan Tahun Baharu Cina bukan saja disambut oleh masyarakat Cina, tetapi juga rakyat pelbagai kaum dan budaya di negeri ini turut sama-sama meraikannya,” katanya.
–Tamat
Add Comment