Home » Vendor OGSE Sabah raih pendapatan RM2 bilion
Berita GRS Politik

Vendor OGSE Sabah raih pendapatan RM2 bilion

Masidi (tengah) menyaksikan penyampaian sijil peringatan kepada salah seorang vendor OGSE Sabah pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Jumlah pendapatan yang diperoleh oleh vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Sabah (OGSE) berjaya mencapai jumlah RM2 bilion daripada kontrak yang diberikan oleh PETRONAS dan Kontraktor Susunan Petroleum (PAC) dari 2021 hingga 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, daripada jumlah ini, RM1 bilion diperoleh pada tahun lalu sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 229 peratus daripada RM613 juta pada 2021 kepada RM1 bilion pada 2024.

Katanya, jumlah syarikat OGSE Sabah turut merekodkan peningkatan sebanyak 91 peratus daripada 79 kepada 151 syarikat.

“Pencapaian yang luar biasa ini menunjukkan kejayaan usaha kerjasama kita sejak Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) ditandatangani dengan pihak PETRONAS pada Disember 2021 untuk mengekalkan dan meningkatkan keupayaan vendor-vendor Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peringatan vendor OGSE Sabah pada Khamis di sini.Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

Dalam pada itu, Hajiji memuji PETRONAS kerana memberikan peluang kepada sektor OGSE untuk berkembang dan memberikan komitmen kukuh untuk memajukan ekosistem minyak dan gas yang dinamik serta mampan di Sabah.

Menurutnya, CCA adalah langkah yang tepat kerana berjaya membuka jalan untuk kerjasama bersama dan inisiatif strategik. 

Katanya, antara inisiatif berkenaan adalah Program Mentorship Sabah, yang juga inisiatif utama oleh PETRONAS dan Kerajaan Negeri Sabah.

Beliau berkata,  inisiatif itu menjadi asas program dengan menyatukan penyedia perkhidmatan teknikal yang berpengalaman dengan vendor-vendor Sabah.

Hajiji berkata, ia bagi memupuk pemindahan pengetahuan, kerjasama, dan pembangunan keupayaan teknikal yang selaras dengan rancangan tender minyak dan gas Sabah.

“Program ini bukan sahaja memberi kuasa kepada rakyat Sabah dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan, tetapi juga mengukuhkan saluran vendor yang berkelayakan, memastikan masa depan yang mampan untuk industri ini.

“Bagi meneruskan agenda ini, kerajaan negeri, melalui SMJ Energy, menubuhkan Majlis Kandungan Tempatan Sabah pada Mei tahun lalu, yang berfungsi sebagai platform kerjasama untuk pihak berkepentingan industri.

“Pada masa sama, ia bagi menangani cabaran dan mengenal pasti peluang untuk meningkatkan pembangunan kapasiti untuk kandungan tempatan dalam industri OGSE,” jelasnya.

Beliau berkata, melalui platform itu, kerajaan negeri akan mewajibkan semua pihak berkepentingan untuk melabur dalam latihan dan pembangunan rakyat Sabah melalui program jangka pendek dan sederhana yang akan dilaksanakan pada 2025.

Hajiji turut menekankan kepentingan mengutamakan pengambilan rakyat Sabah dalam semua projek dan operasi di dalam negeri.

“Saya mahu semua pemain industri menghormati dan mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama komitmen kita terhadap pembangunan tempatan,” katanya.

Pihaknya gembira apabila mengetahui sebanyak 88 vendor Sabah berjaya memperoleh kontrak dan pesanan pembelian daripada PETRONAS dan PAC pada 2024.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan daya tahan dan daya saing perniagaan tempatan Sabah serta kebolehan vendor untuk berkembang dalam industri yang dinamik dan mencabar.

Beliau berkata, fakta bahawa empat vendor Sabah dianugerahkan kontrak untuk pekerjaan yang lebih kompleks, seperti Perkhidmatan Kestabilan Telaga Terpadu (IWCS) menandakan satu pencapaian penting bagi industri OGSE negeri.

Menurutnya, pencapaian itu juga menunjukkan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh PETRONAS dan PAC terhadap keupayaan syarikat-syarikat Sabah dengan memberi kuasa untuk menjalankan peranan penting dalam rantaian nilai minyak dan gas.

Hajiji memberi jaminan, kerajaan negeri kekal teguh dan komited untuk menyediakan sokongan yang diperlukan kepada syarikat OGSE Sabah bagi mewujudkan persekitaran yang berkembang maju.

“Saya mahu syarikat OGSE Sabah meningkatkan prestasi mereka dengan membida projek-projek yang lebih besar dan lebih kompleks.

“Syarikat-syarikat Sabah yang mempunyai keupayaan teknikal terhad boleh mencari rakan kongsi yang berkelayakan secara teknikal melalui perkongsian strategik tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama rapat dengan PETRONAS dan pihak berkepentingan lain untuk meningkatkan persekitaran perniagaan bagi vendor tempatan.

“Justeru, saya menggesa syarikat OGSE Sabah untuk memanfaatkan setiap peluang untuk meningkatkan aliran pendapatan mereka, mengembangkan operasi syarikat serta mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

“Utamakan latihan dan pembangunan rakyat Sabah untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka dalam industri OGSE.

“Sentiasa kemas kini dengan maklumat pasaran yang memberikan pandangan berharga mengenai peluang dalam sektor minyak dan gas Sabah,” katanya.

— Siti Aisyah Narudin