Home » Samad luluskan dua buah PPS di Labuk
Berita Gagasan Rakyat Politik

Samad luluskan dua buah PPS di Labuk

SAMPAIKAN: Samad menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penduduk sempena lawatan itu.

BELURAN: Dua buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) akan dibina di Labuk masing-masing satu di Kampung Klagan Jaya dan Kg Klagan Baru menerusi peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk.


ADUN Labuk, Datuk Samad Jambri berkata pembinaan dua buah PPS itu amat diperlukan terutama semasa musibah banjir yang melanda kedua buah kampung selain ketiadaan kemudahan serupa yang tidak dapat menampung jumlah penduduk yang ramai.


Katanya, tapak bagi PPS Klagan Jaya dan PPS Klagan Baru sudah dikenal pasti pihaknya dan dijangka kerja-kerja pembinaan akan dimulakan tahun ini juga sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir.


“Kampung Klagan Jaya mempunyai sebuah balai raya namun tempat itu tidak mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang terlibat banjir. Oleh itu sebahagian penduduk terpaksa dipindahkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol.


“Di Kampung Klagan Baru pula tiada fasiliti untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir dan mereka (penduduk) juga terpaksa dihantar ke SMK Pamol yang dijadikan sebagai pusat penempatan untuk sementara waktu.


“Jarak antara Kg Klagan Baru dengan SMK Pamol pula agak jauh dan ini menyukarkan operasi memindahkan para penduduk ke pusat itu,” katanya.

 Samad ditemani Zainuddin beramah mesra dengan sebahagian mangsa yang ditempatkan di balai raya.
MESRA: Samad ditemani Zainuddin beramah mesra dengan sebahagian mangsa yang ditempatkan di balai raya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kg Klagan Jaya dan Kg Klagan Baru bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat, pada Jumaat di sini.


Sempena lawatan itu, Samad yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar berkesempatan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir.


Seramai 93 orang penduduk yang merupakan mangsa banjir menerima sumbangan bakul makanan daripada Samad.


Turut hadir pegawai-pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Labuk, Rafael Lindan; Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Labuk, Zainuddin Sabu serta wakil agensi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). 

–Kenneddy Corlleus