Home » Sambutan pada rumah terbuka testimoni sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat
Berita Gagasan Rakyat Politik

Sambutan pada rumah terbuka testimoni sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Silam, Datuk Mizma Appehdullah merakamkan kenangan bersama para tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Gagasan Rakyat Silam, baru-baru ini.

LAHAD DATU: Sambutan dan sokongan yang ditunjukkan masyarakat berbilang bangsa dan agama pada Majlis Rumah Terbuka anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Silam, membuktikan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, sambutan yang ditunjukkan masyarakat berada di luar jangkaan beliau dan beliau sangat terharu atas sokongan yang ditunjukkan.

Katanya, sokongan ini memperlihatkan penerimaan rakyat terhadap kerajaan GRS dan mencapai matlamat kerajaan dalam menyatupadukan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negeri ini dibawah naungan kerajaan GRS.

“Kita dapat lihat penerimaan dan sokongan rakyat kepada Gagasan Rakyat dan GRS, termasuk di Bahagian Silam.

“Saya yakin, sokongan ini akan berterusan serta bertambah jika kita terus bekerja keras dan terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Gagasan Rakyat Silam, baru-baru ini.

 

Menurut Mizma, Majlis Rumah Terbuka berkenaan diadakan bagi sama-sama meraikan dan memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan dengan masyarakat di daerah ini.

Katanya, sambutan perayaan menjadi salah satu platform untuk mengukuhkan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Sabah.

“Kita harus saling menghormati dan meraikan perbezaan budaya atau perayaan kaum-kaum yang ada di Sabah dan melalui sikap inilah kita dapat mengekalkan keharmonian negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Mizma berkata Gagasan Rakyat Bahagian Silam sentiasa berusaha menambah baik gerak kerja dan jentera bagi mengukuhkan lagi parti.Katanya, Gagasan Rakyat Bahagian Silam kini fokus dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita juga merangka beberapa perancangan serta program bagi mengukuhkan lagi perpaduan dalam parti dan menyampaikan visi serta misi kerajaan kepada rakyat,” tambahnya. 

— TAMAT