RANAU: Kemahiran berkomunikasi dengan berkesan adalah satu keperluan dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi digital, kata Presiden Aspirasi Wanita Sabah (AWS) Marlina Madjid.
Tambahnya, ia bukan sekadar alat untuk menyampaikan mesej, tetapi juga sebagai medium untuk mempengaruhi, memimpin dan membina hubungan yang positif.
“Sebagai wanita, kita memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kehidupan, sama ada dalam keluarga, masyarakat, mahupun profesional. Oleh itu, menguasai seni pengucapan awam adalah satu kelebihan yang tidak ternilai.
“Seminar yang diadakan ini dirancang khusus untuk memberikan pendedahan dan latihan kepada para peserta tentang teknik-teknik berkomunikasi yang efektif.
“Kita akan dibimbing oleh panel pakar yang berpengalaman luas dalam bidang ini dan berkongsi ilmu, tips, dan strategi untuk membantu kita menjadi komunikator yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluan pada Seminar Seni Ucapan Berkesan yang diadakan di Dewan Perpustakaan Ranau.
Seminar itu dianjurkan Aspirasi Wanita Sabah dengan kerjasama Biro Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Paginatan dan Beliawanis Gagasan Rakyat Paginatan.
Perasmian seminar itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah
Amisah dalam ucapan memuji usaha Aspirasi Wanita Sabah atas penganjuran itu kerana ia bukan sekadar satu platform untuk meningkatkan kemahiran berucap, tetapi juga satu langkah ke hadapan dalam membina keyakinan diri dan keupayaan untuk menyampaikan mesej dengan berkesan.
“Seminar yang dianjurkan ini membawa satu matlamat yang sangat penting dalam usaha kita untuk memartabatkan wanita khususnya di negeri Sabah. Dengan cabaran dan persaingan pada zaman ini, kemampuan berkomunikasi secara berkesan adalah satu kemahiran yang sangat bernilai.
“Ia bukan sahaja membantu kita untuk menyampaikan idea dengan jelas, tetapi juga membuka pintu peluang dalam banyak aspek kehidupan seperti kerjaya, perniagaan dan kehidupan sosial, ” katanya.
Jelasnya, seni ucapan bukanlah sekadar menyusun kata-kata indah akan tetapi ia turut melibatkan banyak aspek, antaranya penggunaan bahasa yang tepat, pengucapan yang jelas serta penyampaian yang penuh keyakinan dan emosi.
“Saya percaya bahawa setiap daripada kita, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan, mempunyai potensi untuk menjadi seorang pembicara yang hebat.
“Ini bukanlah satu kemahiran yang hanya terhad kepada mereka yang terlibat dalam bidang politik atau media, tetapi ia adalah kemahiran yang amat penting untuk semua golongan terutamanya bagi wanita yang sering dihadapkan dengan pelbagai cabaran untuk menonjolkan diri dan menyuarakan pendapat.
“Seminar seperti ini memberi peluang kepada kita untuk mendalami seni pengucapan awam yang berkesan – bagaimana kita boleh menguasai teknik-teknik penting seperti penyampaian mesej yang jelas, penggunaan nada suara yang sesuai serta cara berinteraksi dengan audiens secara menarik.
“Semua ini adalah elemen-elemen yang boleh membantu kita untuk berkomunikasi dengan lebih yakin dan berkesan, sekaligus memberi impak yang lebih besar dalam setiap perkara yang kita lakukan,” katanya.
Pada majlis itu, seramai kira-kira 100 peserta menyertai seminar itu dengan para wanita akan lebih berkeyakinan dengan adanya ilmu pengucapan awam dalam mengharungi cabaran masa kini dalam pelbagai bidang terutama perniagaan, kehidupan sosial serta kerjaya.
–Kenneddy Corlleus
Add Comment