TAWAU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam isu Sabah Forest Industries (SFI), sambil menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas dan berniat jahat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Nizam, tuduhan kononnya Hajiji menyalahgunakan kuasa berhubung saman sivil RM1.4 bilion adalah tidak benar dan hanya bertujuan menabur fitnah untuk mengelirukan rakyat.
“Tuduhan itu bukan sahaja tidak benar, malah menunjukkan kejahilan undang-undang dan percubaan menipu rakyat. Saman tersebut adalah prosiding sivil, bukan sabitan jenayah, dan kesnya masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh turut menegaskan bahawa dakwaan itu remeh, menyusahkan serta tidak berasas kerana ia melibatkan litigasi antara pihak-pihak terbabit.
Katanya, kerajaan negeri akan mengemukakan pembelaan menyeluruh dan yakin kebenaran akan terbukti selepas proses undang-undang selesai.
Nizam turut menegaskan bahawa isu sebenar SFI bermula sejak pentadbiran Warisan pada 2018, bukannya di bawah kerajaan pimpinan Hajiji.
“GRS mahu rakyat tahu bahawa SFI ialah syarikat swasta dan kerajaan negeri hanya memiliki dua peratus saham. Urusan pembayaran gaji dan operasi adalah tertakluk kepada undang-undang buruh dan tanggungjawab majikan, bukan kerajaan,” katanya.
Menurut Nizam, kenyataan Suhaimi dilihat sebagai helah politik murahan untuk menakut-nakutkan rakyat dan mengalih perhatian daripada kegagalan UMNO menjaga kepentingan rakyat Sabah ketika berkuasa.
“Politik fitnah tidak akan membawa Sabah ke mana-mana. Hajiji dan pentadbiran GRS kekal dengan prinsip ketelusan, integriti dan tanggungjawab kepada rakyat. Rakyat Sabah cukup matang untuk menilai siapa yang bekerja dan siapa yang hanya menabur dusta,” tegasnya.
— TAMAT

























Add Comment