Home » STAR Bandau kekal bersama GRS hasil rundingan akar umbi
Berita GRS Politik

STAR Bandau kekal bersama GRS hasil rundingan akar umbi

MUAFAKAT: Felix menegaskan keputusan sokong GRS hasil muafakat akar umbi STAR Bandau.


KOTA MARUDU :Keputusan Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bandau, Ardino Diris untuk terus menyokong kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bukan dibuat secara bersendirian, sebaliknya hasil muafakat dan suara akar umbi di kawasan berkenaan.

Ketua Penerangan STAR Bandau, Felix Kain, berkata keputusan tersebut dicapai selepas rundingan dan perbincangan menyeluruh melibatkan pemimpin di semua peringkat, termasuk 10 Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta lebih 50 Jawatankuasa Pemimpin Komuniti (JPK).

“Ketua Bahagian tidak bertindak sendirian. Beliau mendengar dan menghormati suara ramai kerana kepimpinan yang baik berpaksikan pandangan akar umbi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas dakwaan Timbalan Ketua Bahagian berhubung jumlah keahlian dan PDM aktif, Felix berkata semua laporan dan aktiviti rasmi perlu disalurkan melalui pejabat bahagian bagi mengelakkan kekeliruan di peringkat akar umbi.

Beliau menjelaskan, laporan Setiausaha Bahagian menunjukkan terdapat gerakan tertentu dijalankan tanpa pengetahuan rasmi bahagian, sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah wujud dua kumpulan kepimpinan dalam STAR Bandau.

“Saya pernah ingatkan rakan-rakan AJK, janganlah kita undi Ketua Bahagian kemudian meninggalkan beliau, ibarat menanam benih tapi tidak menyiramnya. Malangnya, apa yang dirisaukan dahulu kini benar-benar berlaku,” katanya.

Felix menegaskan, tindakan Ardino bukan bentuk penentangan terhadap Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, sebaliknya mencerminkan kehendak majoriti ahli akar umbi yang mahu terus bersama GRS.

“Presiden kita seorang pemimpin rasional yang sentiasa mendengar pandangan di bawah. Ketua Bahagian tidak melawan, tetapi menyuarakan suara majoriti,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya tindakan Ardino bertujuan memecahbelahkan parti, sebaliknya menganggap perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam perjuangan politik yang matang dan demokratik.

“Yang penting ialah keutuhan dan perpaduan parti dijaga. Jangan kerana perbezaan kecil, perjuangan besar kita terjejas,” ujarnya.

Menjelaskan ketidakhadiran Ardino dalam program Presiden STAR pada 19 September lalu, Felix berkata ia berpunca daripada kekeliruan jadual dan bukan tindakan sengaja.

“Program tersebut diatur tanpa pengetahuan rasmi bahagian, manakala Ketua Bahagian telah dijadualkan menghadiri program lain lebih awal,” katanya.

Beliau turut mendedahkan terdapat aktiviti lain seperti penghantaran borang keahlian atas nama individu telah meninggal dunia serta pelantikan Ketua PDM dan JPK tanpa pengesahan bahagian, yang boleh menjejaskan kredibiliti organisasi.

Menurut Felix, 12 daripada 22 ahli jawatankuasa Bahagian Bandau, termasuk enam AJK dipilih dan enam lantikan, kekal menyokong kepimpinan Ketua Bahagian untuk terus bersama GRS.

“Peristiwa ini menjadi pengajaran agar setiap bahagian STAR tidak membiarkan perbezaan pandangan memecahkan keutuhan parti,” katanya.

Beliau turut menyeru semua ahli STAR Bandau untuk kembali bersatu di bawah perjuangan asal yang diasaskan oleh Jeffrey Kitingan demi memastikan perjuangan STAR di DUN Bandau terus kukuh.

— TAMAT