Home » Shah Alfie yakin pengundi Tanjung Keramat buat pilihan bijak
Berita GRS Politik

Shah Alfie yakin pengundi Tanjung Keramat buat pilihan bijak

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya.

PUTATAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, optimis pengundi di kawasan itu akan membuat pilihan berlandaskan pertimbangan rasional dan pencapaian kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah), esok.

Beliau berkata, penerimaan positif terhadap manifesto serta tawaran dasar GRS sepanjang tempoh kempen dua minggu memberi keyakinan bahawa pengundi Tanjung Keramat mahukan kestabilan dan kesinambungan pembangunan.

Menurutnya, pendekatan menyeluruh yang digerakkan jenteranya, termasuk turun padang secara konsisten dan mendengar keluhan rakyat di peringkat akar umbi, diyakini menjadi faktor penting dalam mendapatkan sokongan pengundi.

“Dengan berakhirnya tempoh kempen hari ini, mandat sepenuhnya kini terletak di tangan rakyat. Saya percaya pengundi Tanjung Keramat adalah pengundi yang matang dan bijak menilai prestasi serta rekod pencapaian sesebuah parti, bukan dipengaruhi emosi atau sentimen sementara,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Shah Alfie berkata, GRS tampil dengan tawaran yang realistik dan dekat dengan keperluan rakyat, selaras dengan hala tuju pembangunan negeri menerusi pelaksanaan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang. Apa yang ditawarkan adalah dasar dan perancangan yang berasaskan kemampuan serta kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan sepanjang lima tahun lalu,” katanya.

Mengulas perjalanan kempen, beliau menzahirkan rasa syukur terhadap komitmen tinggi jentera GRS di Tanjung Keramat yang disifatkan bekerja secara tersusun dan berdisiplin sepanjang tempoh itu.

“Saya amat berterima kasih kepada semua jentera, keluarga, rakan-rakan serta penyokong yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah. Usaha telah kita lakukan sebaik mungkin dan selebihnya kita serahkan kepada ketentuan Allah SWT,” katanya.

Shah Alfie turut merakamkan penghargaan kepada pengundi Tanjung Keramat yang sedia memberi ruang dan sokongan sepanjang kempen, sambil menyeru mereka keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab demokrasi.

“Jika anda yakin dengan apa yang kami tawarkan dan melihat kesungguhan kami menyantuni rakyat secara konsisten, maka sokongan anda adalah amanah yang akan kami pelihara. Rumah kita, kita jaga,” katanya.

— TAMAT