TUARAN :Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menggesa syarikat konsesi Jetama Sdn Bhd memperluas pemasangan sistem air minum berteknologi penapisan nano bertenaga solar ke lebih banyak kawasan pedalaman bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat bekalan air bersih.
Menurut Hajiji, sistem yang dibangunkan Jetama itu terbukti berkesan membekalkan air terawat dari telaga tiub ke kampung-kampung yang tidak disambungkan ke paip utama.
“Penduduk Kampung Baru-Baru tidak pernah menikmati bekalan air terawat sebelum ini kerana kampung ini terlalu jauh dari paip utama. Saya berterima kasih kepada Jetama kerana memasang kemudahan ini di sini,” katanya ketika meninjau kemudahan berkenaan di Kampung Baru-Baru, semalam.
Hajiji berkata sistem berkuasa solar atau bank bateri ini sesuai dipasang di kawasan pedalaman dan pulau-pulau Sabah. Dengan kos sekitar RM1.2 juta, ia mampu menghasilkan 30,000 liter air terawat setiap hari, dilengkapi sensor dan pengawal untuk memantau kualiti air serta menyesuaikan operasi mengikut keperluan.
“Air terawat disimpan dalam tangki sebelum diagihkan ke rumah penduduk melalui sistem paip atau pengagihan lain,” jelasnya sambil meminta Jetama menilai pemasangan di lebih banyak kampung.
Dalam lawatan yang sama, Hajiji turut meninjau kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi laluan Serusop–Pinturu sepanjang 20.8 kilometer yang menghubungkan Tuaran dan Kota Belud.
Beliau berpuas hati dengan kemajuan projek bernilai RM465 juta itu yang kini mendahului jadual. Projek yang bermula pada 20 Januari 2025 ini dijangka siap sepenuhnya pada 19 Julai 2028, termasuk pembinaan sebuah jambatan sepanjang 682 meter.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah, Datuk Philemon Lajawai yang memberi taklimat mengenai perkembangan projek.
— TAMAT

























Add Comment