KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menepis keras dakwaan UMNO Sabah yang menuduh kerajaan negeri sebagai “pengkhianat terbesar kepada rakyat” susulan penyebaran video perbualan antara ahli perniagaan Albert Tei dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Ketua Penerangan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Barhul Sahibu, menyifatkan tuduhan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman sebagai fitnah politik murahan yang tidak berasas.
“UMNO Sabah cuba menangguk di air keruh. Video tular tanpa bukti sahih dijadikan modal politik. Kalau benar ada bukti, serahkan kepada pihak berkuasa, bukan hanya menjerit di media,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Barhul berkata UMNO tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap soal integriti memandangkan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, masih berdepan kes rasuah yang belum selesai di mahkamah.
“Jangan cuba jadi juara moral jika rumah sendiri penuh lumpur. Kes Bung Moktar cukup membuktikan siapa sebenarnya liabiliti politik,” katanya.
Menurutnya, serangan peribadi terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hanyalah helah menutup kelemahan UMNO selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Barhul menegaskan Hajiji kekal fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat, manakala UMNO lebih gemar memainkan sensasi politik.
“GRS bekerja untuk rakyat. Sabah tidak perlukan parti yang hidup atas isu sensasi, tetapi kepimpinan yang jelas membawa hala tuju negeri,” katanya sambil menambah bahawa rakyat Sabah kini matang dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda murahan.
— TAMAT

























Add Comment