Home » Sokongan padu rakyat penting realisasikan agenda pembangunan negeri
Berita GRS Politik

Sokongan padu rakyat penting realisasikan agenda pembangunan negeri

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, memukul gendang sebagai simbolik pelancaran sempena perasmian Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap rakyat terus memberikan sokongan padu dan tampil sebagai rakan kongsi strategik kepada Kerajaan Negeri bagi merealisasikan agenda pembangunan Sabah secara menyeluruh dan berterusan.

Beliau berkata, kesinambungan pembangunan negeri hanya dapat dicapai melalui sokongan berterusan rakyat terhadap dasar serta inisiatif yang digerakkan kerajaan negeri.

“Aspirasi saya sebagai Ketua Menteri adalah untuk melakarkan laluan pembangunan yang jelas dan mampan untuk Sabah serta rakyatnya. Justeru, sokongan berterusan rakyat amat penting demi memastikan kesinambungan pembangunan negeri ini,” katanya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun,menulis kaligrafi Cina sempena perasmian Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, sempena perasmian Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersekutu Kota Kinabalu (USCCAKK) atas kejayaan menganjurkan festival berkenaan yang disifatkan sebagai antara acara kebudayaan penting di negeri ini.

Beliau berkata, penganjuran berterusan festival tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikannya sambutan tahunan yang dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh masyarakat Cina, malah oleh pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum di Sabah.

“Program seperti ini bukan sekadar meraikan warisan budaya, malah berperanan sebagai platform memupuk toleransi, saling menghormati dan keharmonian antara rakyat pelbagai latar belakang,” katanya.

Menurut beliau, kepelbagaian sambutan perayaan dan kebudayaan dalam kalangan masyarakat Sabah merupakan identiti unik negeri ini yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan dan kestabilan sosial.

“Di Sabah, sambutan kebudayaan setiap kaum telah menjadi amalan tahunan yang mencerminkan semangat muhibah serta keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Mengulas mengenai Tahun Kuda Api 2026 menurut kalendar Zodiak Cina, Hajiji berkata tahun tersebut melambangkan keberanian, perubahan dan inovasi yang wajar dijadikan inspirasi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Semangat dan tenaga Tahun Kuda ini perlu dimanfaatkan untuk bersama-sama membawa lebih banyak pembangunan ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Negeri akan terus melangkah ke hadapan dengan iltizam memulihkan ekonomi, melaksanakan perancangan strategik serta mencari peluang terbaik demi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.

— TAMAT