Home » LKTNS salur RM4.62 juta lebihan pendapatan kepada 300 peneroka Wilayah Timur
Berita GRS Politik

LKTNS salur RM4.62 juta lebihan pendapatan kepada 300 peneroka Wilayah Timur

Pengerusi LKTNS, Datuk Abdul Ghani Mohamad Yassin (kiri) menyampaikan secara simbolik lebihan pendapatan kepada wakil peneroka Wilayah Timur pada majlis berkenaan.

SANDAKAN: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menyalurkan lebihan pendapatan berjumlah RM4.62 juta bagi tahun 2025 kepada 300 peneroka di Wilayah Timur, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi pengurusan ladang serta hasil pertanian kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Majlis simbolik penyerahan lebihan pendapatan itu disempurnakan oleh Pengerusi LKTNS, Datuk Abdul Ghani Mohamad Yassin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Nabawan, bersama Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R. Joddari, dan disaksikan ADUN N.51 Sungai Manila, Tuan Haji Hazem Mubarak Tun Musa, di Pejabat Ladang Sungai Manila, di sini, pada Sabtu.

Daripada jumlah keseluruhan agihan, seramai 184 peneroka di Sungai Manila menerima RM3.3 juta, diikuti 12 peneroka di Suan Lamba berjumlah RM180,000, manakala peneroka Ulu Dusun menerima RM280,000.

Agihan lebihan pendapatan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula akhir Januari hingga awal Februari 2026.

Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R. Joddari berkata, peningkatan lebihan pendapatan tersebut adalah hasil usaha bersepadu melibatkan pengurusan ladang yang lebih tersusun, kawalan kos yang berkesan serta peningkatan ketara hasil ladang.

Sebahagian peneroka LKTNS Wilayah Timur yang hadir pada majlis penyerahan lebihan pendapatan tahun 2025 di Sungai Manila.

“Bagi tahun 2025, purata pendapatan peneroka mencecah RM1,910 sebulan, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan oleh LKTNS,” katanya.

Beliau berkata, pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) di kawasan Sandakan dan Sukau turut mencatat peningkatan hampir 18 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang menjadi antara faktor utama kepada peningkatan pendapatan peneroka.

Menurutnya, pencapaian itu turut disokong oleh peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, termasuk geran RM2.5 juta bagi pembekalan baja serta RM2.36 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan jalan ladang.

“Jalan ladang yang lebih baik mempercepatkan penghantaran hasil ke kilang, manakala penggunaan baja berkualiti membantu meningkatkan produktiviti sawit secara berterusan, di samping mengurangkan kos operasi peneroka,” katanya.

Beliau menegaskan, kejayaan pengagihan lebihan pendapatan itu membuktikan komitmen LKTNS dalam meningkatkan kesejahteraan peneroka serta memperkukuh produktiviti ladang, selaras dengan usaha memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar di Wilayah Timur Sabah. Syaheddrul turut berharap agihan berkenaan dapat menjadi suntikan motivasi kepada peneroka untuk terus meningkatkan hasil, di samping memastikan kelestarian industri sawit negeri pada jangka panjang.

–TAMAT