Home » Suasana Medan Selera Bandar Sandakan kini lebih kondusif
Uncategorized

Suasana Medan Selera Bandar Sandakan kini lebih kondusif

PRIHATIN: Chew (kiri) berbincang dengan salah seorang peniaga di Medan Selera Bandar Sandakan.

SANDAKAN: Usaha memotong dahan serta pokok yang menjejaskan bumbung gerai-gerai makanan Medan Selera Bandar Sandakan berjalan lancar demi menjadikan suasana lebih kondusif kepada peniaga serta pelanggan.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting Datuk Chew Kok Woh berkata, selepas membuat aduan beberapa hari lalu kepada pihak berkuasa, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan segera menghantar kakitangan untuk memotong dahan kayu yang menjejaskan bumbung gerai kawasan terbabit.

Selain itu katanya, pihak Syarikat Electricity Sdn Bhd (SESB) juga dimaklumkan agar menutup sementara bekalan ke kawasan berkenaan bagi melancarkan proses kerja-kerja pembersihan.

“Dahan serta pokok besar sudah dipotong pada 19 Jun 2023, dan para peniaga di sini juga mengucapkan terima kasih atas usaha yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketika tinjauan dilakukan, Chew turut berpuas hati dengan tindakan segera diambil pihak berkuasa.

Hadir sama dalam tinjauan itu ialah Kapitan John Voon dan Pegawai dari MPS Syed Indra Putra.

Dalam pada itu katanya, penduduk di sekitar Blok B, P dan R Bandar Ramai Ramai kini boleh menarik nafas lega apabila isu lori-lori meletakkan kontena di tepi jalan kawasan itu selesai.

Chew sebelum ini sudah membuat aduan kepada MPS serta pihak berkuasa yang lain. Berikutan itu, satu tindakan mengusir terhadap pemilik kontena berkenaan telah dilaksanakan.

“Penduduk di sini kini berasa lebih selamat ketika menggunakan jalan raya memandangkan kontena sudah dialihkan.

“Sebelum ini, jalan berkenaan diganggu kenderaan berat seperti lori kontena serta trak angkat susun (forklift) sehingga berpotensi mendatangkan risiko kemalangan,” katanya.

Yap Siong Han