Home » Sukar Umno-Warisan-KDM ‘tumbangkan’ rekod bersih Hajiji, kata penganalisis
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Sukar Umno-Warisan-KDM ‘tumbangkan’ rekod bersih Hajiji, kata penganalisis

Penganalisis Politik Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak.

PETALING JAYA: Tanpa kontroversi dan isu salah guna kuasa sepanjang mentadbir negeri bawah bayu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Hajiji Noor mungkin sukar ditandingi mana-mana gabungan, kata penganalisis.

Menjelang PRN Sabah dijangka tahun depan, lebih awal daripada penggal DUN berakhir pada 2025, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata pihaknya mempertimbangkan kerjasama dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Mengulas situasi itu, Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata GRS yang di bawahnya mempunyai tujuh parti tempatan kelihatan agak kuat berbanding lawan, ditambah penerimaan rakyat yang dilihat semakin baik.

Menurut Jeniri, walaupun pentadbiran Hajiji belum mencapai tahap seperti di Sarawak yang lebih baik kerana wujud kestabilan politik namun beliau dilihat “bersih” tanpa ada kontroversi.

Hajiji Noor kini menikmati sokongan Adun GRS dan Pakatan Harapan selain beberapa wakil rakyat Umno untuk meneruskan tugas sebagai ketua menteri. (Gambar Bernama)

“Tak ada isu salah guna kuasa dan rasuah, beliau berada di landasan betul (untuk menang PRN Sabah).

“Kita harus akui dasar dan inisiatif dilaksanakan Hajiji sejak terajui kerajaan di bawah GRS telah diterima baik oleh rakyat,” katanya.

Jeniri turut menjangkakan gabungan Umno, Warisan dan KDM sukar berdepan jentera GRS yang lebih ramai kerana dianggotai tujuh parti iaitu Gagasan Rakyat Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Jeniri menambah, pergolakan politik di Sabah bermula pada PRU 2018 menyebabkan sokongan rakyat negeri itu beralih kepada parti politik tempatan seperti GRS.

“Kalau pertukaran lagi berlaku (pentadbiran negeri) ini jadi masalah untuk Sabah,” katanya merujuk sektor ekonomi dan peluang pekerjaan tempatan yang agak ketinggalan berbanding negeri lain.

Lee Kuok Tiung.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata keputusan Umno berkaitan rakan kerjasamanya menarik untuk dilihat kerana parti itu sebenarnya berpecah kepada dua puak, iaitu setia kepada Bung dan cenderung kerjasama GRS.

“Menarik kalau Bung buat keputusan tidak kerjasama dengan GRS,” katanya merujuk episod ‘Langkah Kinabalu’, awal tahun ini yang menyebabkan Umno berpecah dan Bung dipecat sebagai timbalan ketua menteri.

Cubaan menjatuhkan kerajaan Hajiji gagal manakala Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya dilantik menggantikan Bung. Mac lalu, beliau digantung sebagai ahli Umno selama enam tahun.

Selain beberapa Adun Umno dan semua wakil rakyat GRS, Hajiji turut disokong Pakatan Harapan (PH).

Nora Mahpar