BEAUFORT: Impian seorang ibu enam anak untuk mempunyai rumah yang lebih selesa akhirnya tercapai selepas bantuan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) untuknya siap di Kampung Labi, di sini.
Bagi Raina Chimlin, 51, bantuan itu adalah hadiah paling istimewa pernah diterimanya kerana sebelum ini beliau hanya mampu memasang angan-angan disebabkan kemiskinan hidup.
Masakan tidak, katanya, dengan dirinya yang tidak mempunyai pendapatan kerana tidak bekerja bagi menjaga suaminya yang diserang strok, sudah tentu beliau tidak mampu membina rumah lebih selesa.
Katanya, mereka berdua hanya berharap kepada pemberian anak-anak yang sudah bekerja yang cukup untuk perbelanjaan makan minum, termasuk ubat-ubatan suaminya setiap bulan.
“Hanya mampu pasang angan-angan untuk miliki rumah lebih selesa kerana rumah lama sebelum ini selain sempit, keadaannya juga sudah usang malah bertambah buruk apabila sering dilanda banjir.
“Namun, Alhamdulilah semuanya berubah menjadi kenyataan apabila saya menerima bantuan rumah SMJ ini, yang merupakan hadiah paling berharga dalam hidup saya dan suami.
“Selepas ini kami dapat berbuka puasa di rumah baharu dan paling penting kami sekeluarga dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih selesa dengan anak cucu tersayang.
“Terima kasih kepada kerajaan khususnya Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) atas bantuan rumah SMJ ini dan penghargaan kepada wakil rakyat Lumadan, Datuk Ruslan Muharam,” katanya.
Rainah merupakan salah seorang daripada 10 penerima kunci Rumah SMJ disampaikan Ruslan dalam program lawatan di beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Lumadan, pada Jumaat lalu ,di sini.
Hadir sama Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun.
Sementara itu, Ruslan yang ditemui berkata, pihaknya sudah melaksanakan keseluruhan pembinaan rumah SMJ di kawasan itu sejak bantuan kerajaan negeri itu dilancarkan tiga tahun lalu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu memaklumkan sebanyak 40 buah rumah SMJ akan dibina tahun ini bagi setiap kawasan Dun di Sabah berbanding 20 buah sebelum ini.
“Setiap tahun, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperuntukkan 20 buah rumah SMJ dibina di setiap Dun, namun tahun ini jumlah itu ditambah kepada 40 buah menjadikannya 100 buah.
— Iskandar Dzulkifli
Add Comment