Home » Tangani isu pelanggaran sempadan maritim dengan berhemah
Berita GRS Politik

Tangani isu pelanggaran sempadan maritim dengan berhemah

JELASKAN: Hajiji ketika bercakap kepada media di DUN Sabah.

KOTA KINABALU:  Kerajaan Sabah berharap isu pelanggaran sempadan maritim Sabah oleh Filipina dapat ditangani secara berhemah dan kekeluargaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Wisma Putra telah memaklumkan pihaknya mengenai penyerahan nota bantahan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita sudah dimaklumkan oleh Wisma Putra dan ini kita serahkan kepada Wisma Putra ataupun kerajaan persekutuan dan saya mendapat makluman, kita telah pun menghantar nota bantahan ke PBB untuk diselesaikan.

“Memang kita akan berpandukan kepada sempadan negara kita dan kalau saya tengok peta itu dia termasuk sedikit dalam sempadan negara kita.

“Jadi, kita harap dapat diselesaikan secara baik kerana Filipina adalah jiran kita yang saya rasa perlu kita tangani secara baik dan berhemah sebagai satu keluarga ASEAN,” jelasnya.

Hajiji ditemui media selepas menghadiri Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Jumaat.

Pada Khamis, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Luar memaklumkan, Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina terhadap dua akta yang baharu iaitu Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina.

Kedua-dua akta berkaitan persempadanan baharu maritim negara itu disahkan melangkaui peta baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.

— TAMAT