Pasti ramai yang mengukir senyuman pada 15 November 2024 bersamaan hari Jumaat yang mulia minggu lepas. Apatah lagi penjawat awam dan keluarga mereka kerana pada pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2025, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kewangan Sabah telah membentangkan dan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000.00 kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah termasuklah yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian yang akan dinikmati pada bulan Januari 2025.
Namun, BUKAN HANYA golongan penjawat awam sahaja akan menikmati manfaat belanjawan yang dibentangkan tetapi semua lapisan masyarakat tanpa mengenal latar belakang, jantina, agama, usia dan lain-lain. Bertemakan “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera” yang menjadi hala tuju dan aspirasi kepimpinan dan pentadbiran di bawah “YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor” menjadi keutamaan beliau dalam memastikan rakyat Sabah dari semua pelusuk daerah di Sabah mendapat kemakmuran dan kesejahteraan daripada limpahan dan pembangunan ekonomi yang sedang rancak berlaku di negeri kita.
WANITA, sudah pasti antara golonngan yang tidak pernah dilupakan dan menjadi prioriti di bawah kepimpinan YAB DSP Haji Hajiji Haji Noor. Ini menunjukkan kesungguhan beliau untuk menunaikan janji agar 30% Wanita terlibat dalam pembuatan keputusan diperingkat tertinggi di Negeri Sabah. Pada Belanjawan 2025, peruntukan sebanyak RM9.73 juta kepada (Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) untuk perbelanjaan operasi serta pelaksanaan pelbagai program bagi membangun, memperkasa dan melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa. Jumlah ini jauh lebih besar berbanding pada Belanjawan 2024 iaitu sebanyak RM6.27 juta dan RM5.83 juta pada Belanjawan 2023. Inilah bukti besar di bawah pimpinan YAB DSP Haji Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) martabat Wanita diangkat dan diutamakan,
Begitu juga dengan peruntukkan-peruntukan lain yang dibentangkan pada Belanjawan 2025. Kaum Wanita dan perniagaan terutama IKS berpisah tiada. Melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) diperuntukkan sebanyak RM11.6 juta untuk meneruskan Program Kredit Mikro kepada peniaga IKS khususnya golongan Wanita bagi membantu golongan berpendapatan rendah agar dapat menjana pendapatan keluarga melalui peniagaan kecil-kecilan yang diusahakan. Pengorbanan dan semangat kaum isteri untuk meringankan beban suami dan menyara keluarga ramai kaum hawa ini membuka gerai-gerai jualan di tepi jalan, tepi bangunan dan pasar-pasar malam dengan menjual kuih muih, nasi lemak, goreng pisang, air balang dan lain-lain. Buat julung kali dalam sejarah Belanjawan Negeri Sabah ini, nasib peniaga-peniaga tepi jalan yang banyak dipelopori oleh kaum Hawa juga ini dibela dengan pemberian insentif sebanyak RM5,000.00 secara one-off kepada yang mempunyai lesen yang sah. Jadi saya sarankan agar semua peniaga tidak kira secara kecil-kecilan atau sekadar di tepi rumah memohon lesen berniaga secara sah. Ini semua bukti prihatin Kerajaan di bawah GRS yang komited dalam membasmi kemiskinan di Sabah.
Hari ini kita melihat, bagaimana generasi muda Wanita semakin agresif dan mempunyai keyakinan yang tinggi dalam dunia yang penuh cabaran, Mereka adalah generasi penerus bangsa. Justeru untuk memastikan kelangsungan hidup dan semangat ini untuk mereka menerokai bidang perniagaan dengan pelbagai bidang maka Kerajaan melalui Belanjawan 2025 akan projek perintis Program Keusahawanan Wanita Muda yang diperkenalkan melalui pemberian pinjaman mikro dengan kadar faedah yang rendah berbanding program yang lain. Dalam Belanjawan 2025 ini pelbagai golongan di beri perhatian terutama golongan rentan agar mereka juga mampu seiring dengan Pembangunan ekonomi negeri Sabah.
Benarlah seperti yang dikatakan oleh YB DSP Masidi Manjun dalam pembentangan belanjawan yang memetik pepatah Bajau Samah “Pipit Bisu Mangan Ta’ Uran” yang membawa maksud kita buat kerja sehabis baik dan tidak perlu menghebahkan kepada orang lain, tapi dapat dirasai oleh semua orang dariapada menjadi seperti ayam ”telur sebiji, riuh sekampung”.
Semoga Belanjawan 2025 akan diluluskan sepenuhnya untuk memastikan negeri ini terus mencapai kemakmuran dan rakyat Sabah dapat hidup dengan Sejahtera.
*YBHG Datuk Redonah Bahanda merupakan Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
*Beliau juga merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah dan Timbalan Ketua Wanita GRS.
Add Comment