Home » Tapak cadangan pembinaan rumah PPR di Tawau sudah dikenal pasti
Berita Gagasan Rakyat Politik

Tapak cadangan pembinaan rumah PPR di Tawau sudah dikenal pasti

SUMBANGAN: Nizam menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran di PPS Dewan Sri Balung.

TAWAU: Kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina lebih banyak projek perumahan rakyat (PPR) di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, permohonan secara rasmi sudah dihantar dan sedang menunggu untuk mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai untuk pembinaan PPR di seluruh Sabah.

“Saya telah mengemukakan cadangan untuk membina lebih banyak rumah rakyat dan ia telah mendapat persetujuan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Untuk di daerah Tawau, saya sudah mengenal pasti tapak yang sesuai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas untuk pembinaan 1,000 unit rumah PPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Jati, Batu 5 Jalan Apas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Balung, di sini semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang.

Sementara itu, Nizam yang juga ADUN Apas berkata, pihaknya turut menerima banyak permohonan untuk Rumah Mesra SMJ termasuklah dalam kalangan mangsa-mangsa kebakaran di daerah ini.

“Kita telah maklumkan kepada pemohon tentang syarat ditetapkan dan memang menjadi keutamaan adalah mereka yang ditimpa musibah seperti kebakaran.

“Saya juga sarankan kepada mangsa kebakaran di Kampung Jati supaya membuat permohonan rumah SMJ sekiranya berminat dan layak,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam menasihatkan semua masyarakat di daerah ini yang berniat mahu mendirikan rumah terutamanya di tanah status kampung supaya mengikut peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, jangan membina rumah terlalu rapat kerana ia boleh menyebabkan kemusnahan besar sekiranya berlaku musibah kebakaran.

“Pemilik tanah yang memberi kebenaran untuk membina rumah juga diminta supaya mendapatkan nasihat daripada PBT bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Nizam menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 48 ketua isi rumah yang terbabit dalam kebakaran di kampung berkenaan.

— Hamzah Sanudin