Home » Tawau berpotensi jadi hab pelancongan kesihatan – Nizam
Berita Gagasan Rakyat Politik

Tawau berpotensi jadi hab pelancongan kesihatan – Nizam

MoU: Nizam (tiga kiri) ketika menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara KMI Tawau Medical Centre dan Rusleeya Healthcare Sdn Bhd.

TAWAU: Industri perubatan di daerah ini disaran dimajukan secara lebih menyeluruh dan strategik bagi menjadikan Tawau sebagai salah satu destinasi pelancongan kesihatan atau ‘medical tourism’ utama di Sabah.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama antara KMI Tawau Medical Centre dan Rusleeya Healthcare Sdn Bhd menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) merupakan langkah penting ke arah itu.

Katanya, inisiatif dua pihak berkenaan dalam memperkukuhkan perkhidmatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) bukan sahaja mampu meningkatkan mutu rawatan kesihatan di peringkat tempatan, malah membuka ruang besar untuk perkembangan industri secara rentas sempadan.

“KMI Tawau Medical Centre kini dilihat semakin dikenali di peringkat nasional, bersama kepakaran Rusleeya Healthcare dalam perkhidmatan ‘mobile’.

“Kedua-dua entiti ini mampu menjadikan Tawau sebagai pusat rujukan perubatan yang unggul, lebih-lebih lagi dengan kedudukan strategik daerah ini bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandatangani MoU antara KMI Tawau Medical Centre dan Rusleeya Healthcare Sdn Bhd, pada Sabtu di sini.

Menurutnya, dengan perpindahan pusat pentadbiran Indonesia ke Nusantara di Kalimantan, peluang besar terbuka untuk pemain industri kesihatan di Tawau memperluaskan perkhidmatan ke pasaran luar negara.

“Saya telah menyarankan agar kerjasama ini tidak hanya terhad di Tawau kerana peluang untuk menembusi pasaran Indonesia sangat besar.

“Selain itu ia juga mampu menjana pulangan ekonomi serta hasil yang lebih mampan kepada negeri dan negara kita,” katanya.

 Nizam menerima cendera kenangan daripada KMI Tawau Medical Centre.
PENGHARGAAN: Nizam menerima cendera kenangan daripada KMI Tawau Medical Centre.

Nizam berkata, pelaksanaan perkhidmatan audiometri dan spirometri di bawah kerjasama ini dijangka memberi manfaat besar kepada syarikat-syarikat di kawasan Pantai Timur Sabah, khususnya dari aspek pematuhan kepada piawaian OSH yang ketat.

Katanya, KMI Tawau Medical Centre akan bertindak sebagai pusat rujukan utama dalam pengurusan kes dan penyampaian laporan perubatan, manakala Rusleeya Healthcare akan memainkan peranan dalam pelaksanaan perkhidmatan bergerak.

“Gabungan tenaga kerja profesional, kemudahan moden dan komitmen tinggi kedua-dua organisasi ini menunjukkan contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh bekerjasama memacu pembangunan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam menyifatkan penjagaan kesihatan pekerja sebagai pelaburan jangka panjang yang harus diberikan keutamaan dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar hari ini.

Beliau berharap kerjasama strategik ini menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor kesihatan di Sabah dan menjadikan daerah Tawau sebagai pemain utama dalam industri pelancongan kesihatan negara. 

–Hamzah Sanudin