TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu jentera penerangan Gagasan Rakyat termasuk di peringkat bahagian dan cawangan untuk terus memerangi pembohongan dan fitnah yang dibawa oleh pembangkang, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, dua lagi cabaran ialah pentingnya jentera penerangan dan semua pimpinan parti untuk menguasai dunia maya atau media sosial; dan terus meraih sokongan rakyat kepada Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Jentera penerangan khususnya mempunyai tanggungjawab besar untuk menangani cabaran-cabaran ini. Kita bukan saja perlu memerangi pembohongan dan fitnah pembangkang tetapi juga perlu menguasai dunia maya atau media sosial.
“Dalam memerangi dakyah pembangkang, adalah penting untuk kita menguasai dunia maya atau teknologi masa kini menerusi media-media sosial.
“Ini bagi memastikan kita menjadi satu jentera pantas bukan saja untuk memerangi pembohongan pembangkang tetapi yang penting adalah menyebarluaskan segala insiatif bantuan serta kejayaankejayaan yang dicapai kerajaan GRS- PH Plus.
“Tahun ini adalah tahun pilihan raya, oleh itu jentera parti khususnya jentera penerangan harus bekerja keras untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada rakyat..inshaAllah GRS akan diberi mandat sekali lagi oleh rakyat pada PRN akan datang,” katanya ketika merasmikan Bengkel Penerangan & Pelancaran Jentera Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah ‘Gasak 17 ’ di Dewan Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajausama di Tuaran, pada Sabtu di sini.
Sehubungan itu katanya, adalah penting untuk semua pimpinan parti termasuk jentera penerangan dan jentera pilihan raya di semua peringkat bekerja keras sepenuhnya untuk memastikan penjelasan diberikan kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Ini penting kerana banyak inisiatif dibawa oleh kerajaan GRS, sebahagian besarnya tidak pernah dibuat oleh kerajaan-kerajaan lalu apa lagi oleh kerajaan Warisan yang hanya pandai berbohong dan membuat fitnah.
“Insiatif bantuan dalam pendidikan, kesejahteraan rakyat seperti bantuan rumah mesra Sabah Maju Jaya dan Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah atau SYUKUR, kejayaan membawa pelabur asing hingga dapat membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan, perlu diperjelaskan serta disebarluaskan kepada rakyat.
“Inilah yang telah dilaksanakan kerajaan GRS dalam tempoh lebih empat tahun,” katanya.
Katanya, tanggungjawab sebagai jentera penerangan amat mencabar dalam menangani setiap pembohongan dan fitnah daripada pembangkang.
“Ini kerana sudah menjadi tugas pembangkang untuk terus menabur fitnah dan membuat pembohongan. Justeru, kita kena lawan dengan apa yang kita sudah buat selama memerintah.
“Walaupun rakyat tahu menilai namun tugas kita khususnya jentera penerangan adalah terus memberi penjelasan, lawan pembangkang kerana mereka akan terus membuat pembohongan.
“Ini kerana pembangkang rasa kecewa sebab Gagasan Rakyat dan GRS terus diterima rakyat berbilang kaum di negeri ini,” katanya sambil menambah bahawa Gagasan Rakyat dan GRS akan terus membela nasib rakyat hingga ke peringkat akar umbi.
Justeru, beliau mahu semua jentera parti, jentera pilihan raya dan penerangan di peringlat bahagian serta cawangan terus diperkemaskan dan diperkuatkan untuk menghadapi PRN.
“Saya juga mahu siapa juga calon dipilih, kita kena sokong. Jangan sesekali ada unsur sabotaj. Dalam masa sama, kita mahu kestabilan politik,” katanya.
Terdahulu, Hajiji telah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.
— TAMAT
Add Comment