TAWAU: Tuduhan Parti Warisan (WARISAN) yang mengatakan kerajaan negeri sebagai pengkhianat kerana bersetuju dengan penyelesaian interim pemberian khas adalah tidak berasas dan mengelirukan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata kadar pemberian khas daripada kerajaan persekutuan yang diterima adalah yang tertinggi setakat ini.
Katanya, pada tahun lalu, kita sudah menerima pemberian khas itu sebanyak RM125 juta berbanding jumlah asal RM26 juta.
“Tuduhan mereka sememangnya tidak berasas kerana jumlah yang diterima di bawah pimpinan kerajaan negeri sekarang jauh lebih tinggi iaitu peningkatan lebih 4 kali ganda.
“Malah, semasa Parti WARISAN memerintah, mereka juga pernah bersetuju dengan tawaran kerajaan persekutuan pada tahun 2019 dengan kadar sebanyak RM53 juta sahaja bermula 2020,”katanya.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian ketika ditemui dalam sesi Taklimat Kepimpinan GRS, di sini hari ini.
Menurutnya, penyelesaian interim yang disetujui itu adalah secara bertulis dan tidak prejudis terhadap dua perkara iaitu tidak menafikan hak Sabah untuk terus berjuang terhadap 40 peratus hasil dikutip setiap tahun.
“Ia juga tidak mengikat Sabah dalam tempoh lima tahun dan boleh berubah apabila terdapat sesuatu persetujuan baharu dimeterai bersama kerajaan persekutuan.
“Buktinya, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa tahun ini jumlah tersebut akan ditingkatkan kepada RM300 juta dan ia dijangka meningkat setiap tahun,” katanya.
Armizan berkata, kerajaan negeri di bawah GRS akan terus memperjuangkan formula asal iaitu 40 peratus hasil dikutip setiap tahun.
“Justeru, saya meminta supaya kerajaan negeri dapat menurut taraf (declassify) di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 surat kerajaan negeri WARISAN kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada tahun 2019 tersebut daripada pengelasan sulit kepada terbuka.
“Surat tersebut perlu diturun taraf bagi membolehkan ia dikongsikan kepada umum supaya rakyat Sabah boleh melihat fakta sebenar dan tidak terkeliru dengan taktik pemesongan WARISAN,” katanya.
Dalam ada itu, Armizan berkata, hasil yang diterima kerajaan negeri itu sudah berbalik kepada rakyat Sabah termasuklah menyediakan sebanyak 3,000 unit ‘Rumah SMJ’ dalam tempoh dua tahun ini.
“Kerajaan GRS juga sudah membuktikan bahawa pentadbirannya sangat cemerlang dalam meningkatkan ekonomi dan membela nasib rakyat Sabah.
“GRS tidak takut dengan tuduhan yang dilemparkan oleh pihak parti lawan kerana kita akan jawab dengan fakta,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang dan ADUN Kukusan, Rina Hj Jainal.
— Hamzah Sanudin
Add Comment