Home » 500 ahli Warisan Karanaan isytihar keluar parti, sertai PGRS
Politik

500 ahli Warisan Karanaan isytihar keluar parti, sertai PGRS

Awasi (keempat kiri), Meretha (empat kanan) dan bekas ahli Warisan yang lain menunjukkan tanda bagus atas penyertaan PGRS, manakala Ruhimin (tengah) mengalu-alukan keahlian mereka.

RANAU: Kira-kira 500 ahli Parti Warisan Cawangan Karanaan diketuai bekas Timbalan Ketua Bahagian, Awasi Ganie @ Yasin Bin Abdul Ghani mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di sini pada Jumaat.

Memetik ketidakstabilan dalam parti sebagai punca utama mereka keluar, Awasi mengucapkan terima kasih kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal atas bimbingan dan sokongan beliau selama ini.

“Bagaimanapun, dengan rasa dukacita kami mengumumkan bahawa beberapa pemimpin Warisan Karanaan, termasuk saya sendiri, telah memutuskan untuk berpindah ke parti lain,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, penyokong kuat Warisan di sini tetap setia dan teguh walaupun tidak bersetuju dengan keputusan Warisan untuk berundur daripada Pakatan Harapan (PH+).

Awasi juga merupakan bekas Penyelaras Warisan Karanaan dan merupakan antara calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

Beliau telah bersama Warisan selama enam tahun sejak 2017.

“Kami mengekalkan kepercayaan walaupun kami tidak bersetuju dengan tindakan Warisan melebarkan sayap ke Tanah Melayu. Kami tetap percaya walaupun kami tidak dilayan dengan baik dalam kegagalan semasa pelantikan ketua bahagian sebelum ini.

“Rayuan kami untuk campur tangan daripada pucuk pimpinan untuk turun padang menilai keadaan tidak dilayan, tetapi kami tetap teguh walaupun hanya sedikit perhatian diberikan kepada Bahagian kami.

“Kami mengakui bahawa sumber adalah tipis dan secara strategik, Ranau bukanlah kerusi keutamaan atau boleh menang. Oleh itu, pihak tertinggi parti tidak melihat ia sesuai untuk “turun padang” tetapi apalah salahnya jika melawat sekali-sekala ,” katanya.

Awasi berkata selepas mendapatkan suara daripada sokongan akar umbi, majoriti daripada mereka telah berazam untuk bergerak ke hadapan ‘ke padang rumput yang lebih hijau’, dengan atau tanpa beliau.

“Saya bukan seorang yang meninggalkan pengikut saya tanpa pengawasan. Oleh itu, setelah banyak pertimbangan, tanpa rasa teragak-agak, kami memutuskan untuk menyertai PGRS.

“Ini adalah platform yang kami percaya boleh memberi banyak manfaat kepada rakyat di Sabah, termasuk di Karanaan,” katanya.

Bekas Wirawati Warisan Karanaan, Meretha Jaudin, berkata kira-kira 90 peratus pemuda dalam Warisan Karanaan menaruh sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan cawangan, dan ke mana hala tujunya, sayap akan mengikut jejak langkahnya.

Naib Ketua PGRS Bahagian N.37 Karanaan, Jupirin Haji Ruhimin, mewakili Adun Karanaan, Datuk Masidi Manjun, mengalu-alukan kemasukan Awasi dan bekas ahli Warisan lain ke dalam lipatan PGRS Ranau.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha PGRS Bahagian N.37 Karanaan, Jardern J Saliun, bekas Ahli Jawatankuasa Ranau Wirawati, Balinda Bitih, Pemangku Ketua Warisan Karanaan Wanita, Jinie Jaudin, bekas ahli Warisan, Yasin Seliun dan lain-lain.

— Clarence Dol