Home » Tuntutan Filipina ke atas Sabah ditolak, Pemuda Gagasan Rakyat tegaskan kedaulatan Negeri
Berita Gagasan Rakyat Politik

Tuntutan Filipina ke atas Sabah ditolak, Pemuda Gagasan Rakyat tegaskan kedaulatan Negeri

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan pendirian tegas menolak sebarang tuntutan oleh Filipina ke atas Sabah yang disifatkan tidak berasas dari sudut perundangan mahupun legitimasi sejarah.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata Sabah merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia yang sah dan berdaulat, dengan kedudukan itu telah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta diiktiraf dalam kerangka perundangan antarabangsa.

Menurutnya, pendirian Pemuda Gagasan Rakyat itu selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebelum ini yang menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan terhadap kedaulatan Sabah.

“Kami berpandangan isu ini tidak wajar dibangkitkan semula kerana ia berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran yang tidak perlu antara negara terlibat.

“Kedaulatan Sabah adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Isnin.

Screenshot

Beliau mengulas kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) yang mengulangi tuntutan negara itu ke atas Sabah susulan perbincangan mengenai peta pentadbiran 2012 yang memaparkan wilayah berkenaan.

Jurucakap Hal Ehwal Maritim DFA, Rogelio Villanueva, dilaporkan berkata penggubalan Akta Zon Maritim Filipina 2024 tidak memansuhkan Seksyen 2 Republic Act 5446 yang mentakrifkan garis dasar wilayah Filipina dan tidak menjejaskan tuntutan sedia ada ke atas sebahagian Borneo Utara.

Sementara itu, Azrul menyeru seluruh rakyat Sabah, khususnya golongan belia, agar terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri.

Menurutnya, perpaduan rakyat merupakan benteng utama dalam menghadapi sebarang cabaran yang menyentuh kedaulatan dan keselamatan negeri.

“Sabah adalah tanah air kita yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan. Pendirian kita dalam soal kedaulatan mesti kekal tegas, konsisten dan tidak berkompromi. “Sabah kekal bersama Malaysia, dahulu, kini dan selamanya,” katanya.

–TAMAT