UCAPAN DASAR YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI HAJI NOOR, PRESIDEN
PARTI GAGASAN RAKYAT SABAH (GAGASAN RAKYAT) SEMPENA PERSIDANGAN
AGUNG TAHUNAN (PAT) PARTI GAGASAN RAKYAT SABAH (GAGASAN RAKYAT) PADA 10
NOVEMBER 2024 (AHAD), PUKUL 9.00 PAGI DI SABAH INTERNATIONAL
CONVENTION CENTRE (SICC)
Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Malaysia Madani dan Salam
Sabah Maju Jaya
Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Timbalan Presiden Gagasan Rakyat
Yang Berhormat Naib-Naib Presiden Gagasan Rakyat –
Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif – –
Datuk Rubin Balang
Datuk Masiung Bana
Yang Berbahagia Datuk Mohd Razali Razi, Setiausaha Agung Gagasan Rakyat
Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Gulamhaidar Khan Bahadar, Bendahari Agung Gagasan
Rakyat
Yang Berhormat Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Penerangan Gagasan Rakyat
Yang Berbahagia Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pergerakan Wanita
Yang Berhormat Datuk Fairuz Renddan, Ketua Pergerakan Pemuda
Yang Berbahagia Cik Emmi Martin Idang, Ketua Pergerakan Beliawanis
Yang saya hormati Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Ketua-Ketua Bahagian dan para Perwakilan yang dikasihi sekalian.
Saya turut mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan Presiden parti komponen GRS;
YB DSP Dr Joachim Gunsalam
YB DSP Dr Jeffrey Kitingan
YB DSP Yong Teck Lee
YBhg TS Pandikar Amin Hj Mulia
YBhg Tan Sri Liew Yun Fah
YBhg Datuk Chin Su Phin
YB Senator Tan Sri Anifah Aman
Pemangku Presiden PBS
Presiden STAR
Presiden SAPP
Presiden USNO
Presiden PHRS
Presiden LDP
Presiden PCS
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan
pimpinan parti komponen Pakatan Harapan Sabah;
Yang Berhormat Datuk Christina Liew, Pengerusi PH Sabah
Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick, Presiden UPKO
Yang Berhormat Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi PKR Sabah
Yang Berhormat Datuk Phoong Jin Zhe, Pengerusi DAP Sabah
Yang Berbahagia Saudara Lahirul Latigu, Pengerusi Amanah Sabah
Para Pemerhati, khususnya para Pelajar dan Mahasiswa yang turut sama menyaksikan
Perhimpunan Agung Tahunan ini.
Tuan-Tuan, Puan-Puan, sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah
rahmat-Nya jua, sekali lagi kita berpeluang berhimpun di dewan yang gah ini, sempena
Perhimpunan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat, tahun 2024.
Tentunya perhimpunan ini bukan hanya semata-mata untuk kita memenuhi tuntutan
perlembagaan parti, tetapi tidak kurang pentingnya, perhimpunan agung ini sebagai
penggilap semangat Gagasan Rakyat – parti yang kita dukung sebagai wadah perjuangan
kita bersama.
Istimewa kepada seluruh pimpinan, perwakilan dan pemerhati Gagasan Rakyat, yang
datang dari seluruh pelusuk Negeri Sabah, Negeri Di Bawah Bayu ini; dari Pulau Banggi
hingga ke Pulau Sebatik, termasuk dari kawasan pedalaman – nun jauh terpencil – atas
semangat yang kental, dan iltizam yang padu dan jitu, juga atas nama sebuah perjuangan
demi meneruskan legasi kejayaan dan kecemerlangan. Selamat Datang dan selamat
bertemu kembali ke Perhimpunan Agung Tahunan yang sangat bermakna lagi bersejarah
ini. Turut tidak dilupakan para perwakilan daripada Pulau Labuan.
Inilah cerminan komitmen dan iltizam kita ahli-ahli Gagasan Rakyat, dengan semangat
waja sebagai simbol kesepaduan dalam perjuangan, kita mengangkat martabat parti dan
menyemarakkan obor perjuangan di kesemua 74 bahagian dan 73 kawasan DUN di Sabah,
kerana di sinilah terbinanya rumah perjuangan kita, rumah yang kita jaga, rumah yang kita
hias indah, sebagai tempat berlindung dan berteduh segala bangsa dan rakyat yang dikasihi.
Tanpa sedar, masa pantas beredar. Setahun sudah berlalu selepas kita berhimpun
di sini pada 13 November 2023, saat suasana politik kita sudah kembali mengukuh dengan
kekuatan baharu setelah mengharungi gelora yang membadai pada awal tahun berkenaan.
Ternyata, tribulasi dan ujian itu ada hikmahnya. Ia membangkitkan lagi semangat dan
memperteguhkan perpaduan kita, lantas menambah kekuatan dan keutuhan Gagasan
Rakyat, rumah kita yang kita jaga ini. Setelah setahun berlalu sejak perhimpunan agung
yang pertama itu, kini kita lebih berkeyakinan dan bertenaga untuk terus mara ke hadapan
dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan hak negeri yang tercinta ini!
Kepada sayap-sayap parti yang dikasihi; Pergerakan Wanita, Pemuda dan
Beliawanis; syabas dan tahniah kerana anda semua telah selesai mengadakan persidangan
masing-masing tanpa sebarang masalah. Inilah makna dan buktinya pimpinan muda dan
ahli-ahli yang matang berpolitik, yang tahu peraturan dan memahami perlembagaan. Meski
pun Gagasan Rakyat ini baharu setahun jagung, tetapi kematangan dan pengalaman kita
jangan sekali-kali diukur dengan usia parti ini, kerana rata-rata orang Gagasan Rakyat ini
adalah pejuang dan ahli politik yang cukup berpengalaman; yang tahu menilai mana yang
hitam dan mana yang putih; mana satu permata nilam dan mana satu permata sakti! Most
of us here are very experienced people. Pengalaman menjadikan kita a wise man, a wise
politician, and of course, a wise leader. Justeru, kebijaksanaan yang kita miliki ini, walau
bagaimana kecil atau sedikit sekali pun, biarlah ianya menjadi sumbangan kepada parti kita,
kepada GRS dan kepada Sabah, ke arah mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam
perjuangan! Tahniah sekali lagi kepada ketiga-tiga sayap parti yang saya kasihi sekalian.:
Berjuang berbakti seikhlas hati
Langkah dibuka gagah perkasa
Menjaga negeri matlamat parti
Kita membela nusa dan bangsa
Saya ingin mengangkat kata-kata bijak pandai yang sarat dengan makna dan
peringatan, “Manusia hanya bisa merancang, namun Allah jua yang menentukan”. Kata-kata
ini merupakan pedoman sekaligus pencetus inspirasi dalam upaya kita mengayuh bahtera
perjuangan menuju kejayaan. Sebagai seorang hamba dan insan biasa, sebagai rakyat
Malaysia yang berpegang teguh kepada 5 prinsip Rukun Negara, dan meyakini bahawa
Tuhan itu penentu nasib dalam perjalanan hidup kita, jangan sekali-kali kita lupa untuk
mengangkat doa, bersyukur dan meminta kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Dalam melayari
bahtera perjuangan ini, usaha dan ikhtiar itu penting yang merangkumi kerja keras, semangat
kerja berpasukan dan semangat perpaduan. Tetapi keikhlasan dan kejujuran jangan
tertinggal sedikit pun di dalam hati – kerana dihujung setiap perjuangan, kita perlu berserah
kepada Allah SWT, untuk membantu kita, serta memakbulkan apa yang kita inginkan dan
hajati daripada Ilahi, Tuhan semesta alam.
Pokok pangkalnya, dalam setiap perancangan mesti ada terselit niat yang baik serta
hati yang tulus ikhlas. Justeru, marilah kita gunakan medan perhimpunan ini sebagai wadah
untuk kita mengumpulkan segala niat yang baik-baik dan menyatukan segala hati yang
penuh ikhlas, agar apa sahaja yang bakal kita bentang dan bincang, apa jua yang bakal kita
atur untuk memperhalusi ikhtiar dan memperkukuh strategi demi merencanakan hala tuju
parti – mudah-mudahan atas keikhlasan itu, kita akan memperoleh keredhaan Allah SWT,
Tuhan Yang Maha Esa. Pokok pangkalnya jua, jika Tuhan redha dan menerima amalan dan
permintaan kita, insya Allah, semuanya akan selamat dan sejahtera.
Sepertimana yang saya sering nyatakan, Gagasan Rakyat merupakan sebuah PARTI
TEMPATAN yang dianggotai oleh pelbagai latar belakang agama dan bangsa. Gagasan
Rakyat lahir atas manifestasi aspirasi akar umbi yang mahu pimpinan di Sabah bergerak dan
berjuang melalui parti lokal. Naratif ini tidak datang secara semberono, jauh sekali direka. Ia
merupakan kemahuan majoriti rakyat Sabah. Atas sebab itu, kita mesti meletakkan Gagasan
Rakyat sebagai parti yang kuat serta mendapat sokongan yang padu dan jitu di kalangan
rakyat Sabah.
Meski pun berjiwa tempatan, Gagasan Rakyat akan menjulang semangat
Persekutuan Malaysia berteraskan CITRA KEBANGSAAN. Kita akan memainkan peranan
yang signifikan dalam kancah politik nasional bagi mengangkat agenda pembangunan negeri
dan negara.
Suka saya ingatkan, Gagasan Rakyat telah meletakkan tiga teras perjuangan yang
kita simpulkan dalam akronim SMJ: iaitu S – Stabil Politik, M – Makmur Negeri dan J – Jaminan
Kesejahteraan. Ketiga-tiga teras ini amat bertepatan sekali dengan Hala Tuju SMJ yang kita
gagaskan lebih tiga tahun yang lalu.
Saya yakin dan percaya, Sabah hanya boleh dibangunkan serta dimajukan dengan
adanya kestabilan politik. Malah kestabilan itu perlu bermula daripada parti kita sendiri, baik
diperingkat cawangan, bahagian mahupun negeri. Kita wajib mengelak daripada berlakunya
perpecahan dan pergeseran. Segala perbezaan yang wujud mesti diselesaikan dengan baik
dan bijaksana. Jika kita bersatu, Gagasan Rakyat akan menjadi lebih kuat dan dihormati.
Jika itu boleh kita lakukan, pimpinan kerajaan akan dapat memberi perhatian
sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri. Kita memikul amanah berat untuk
memastikan hak rakyat Sabah terbela. Kita ada tanggungjawab besar untuk selesaikan
masalah yang menjadi isu legasi sejak sekian lama. Saya memberi jaminan, kerajaan negeri
yang saya pimpin akan terus bertekad untuk memastikan segala permasalahan rakyat
diambil perhatian serius dan diselesaikan.
Dalam mengemudi pentadbiran negeri, saya sering mengingatkan rakan-rakan dalam
GRS betapa pentingnya kesatuan dan perpaduan antara kita ini terus dipupuk dan dibaja,
agar matlamat untuk membina Sabah yang bersatu atau united, progresif, dinamik, aman
dan sentosa, akan lebih mudah dicapai sepenuh-penuhnya. Dalam GRS kita menyelami hati
budi rakyat dan memperjuangkannya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama. Inilah juga
asas perjuangan Gagasan Rakyat, menyelami hati budi golongan akar umbi dan
menyediakan pelbagai insentif yang dapat mereka manfaatkan.
Saya ingin berkongsi pandangan mengenai peri pentingnya mengamalkan politik
hormat menghormati, politik perpaduan, dan politik pembangunan, khusus untuk kita di
Sabah yang menerima pakai konsep dan semangat Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Sesuai
dengan budaya dan adat resam orang Sabah yang peramah, bertoleransi tinggi dan hidup
dalam harmoni, maka kita wajib menyemai dan menyuburkan semangat perpaduan kaum di
kalangan kita bagi mengekalkan kerukunan dan keharmonian dalam masyarakat.
Sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, sudah pasti kita semua menginginkan
kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuh-penuhnya. Kita juga
menginginkan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa ada rasa takut di dalam hati,
atau rasa terancam dalam menjalani kehidupan seharian. Sedarlah, bahawa semua impian
dan harapan itu hanya boleh dicapai jika negeri dan negara kita ini kekal aman dan stabil,
rukun dan damai.
Dalam konteks kepartian dan berkerajaan, kestabilan politik itu sangat penting untuk
kita maju dan mara ke hadapan dalam suasana yang aman, makmur dan sentosa.
Kestabilan politik itu sendiri adalah kunci kepada kemajuan dan kesejahteraan. Tanpa
kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal harapan kosong dan
angan-angan. Kestabilan politik mustahil dapat dicapai jika pemimpin bercakaran.
Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat turut diheret untuk
bersengketa dan berbalah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada perselisihan
yang berpanjangan. Persengketaan dan perselisihan jika dibiarkan berlarutan, tidak
ditangani dengan bijaksana, akhirnya akan mencetuskan perpecahan. Perpecahan itu
adalah punca kelemahan yang akan mengheret kita ke kancah kegagalan dan kehancuran.
Para Perwakilan, Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Kita mempunyai tempoh sehingga bulan Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan
Undangan Negeri Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17. Maknanya,
kita boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa, sebelum atau sehingga tempoh kita
tamat.
Apa yang pasti, kita akan berhadapan dengan pilihan raya. Kita memerlukan mandat
baharu daripada rakyat serta sokongan yang signifikan untuk menerajui kerajaan negeri
dalam tempoh lima tahun akan datang. Tempoh tersebut amat penting kepada rakyat dan
negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju SMJ yang kita
gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kita mahu pastikan, setiap keluh kesah
rakyat dapat diambil perhatian dengan serius untuk diselesaikan.
Yakin dan percayalah, PRN-17 merupakan peluang terbaik untuk kita
memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan Gagasan Rakyat, selain menjadi medan untuk
kita pasakkan asas parti serta memperkasa sokongan rakyat terhadap parti yang tercinta ini.
Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kukuh
terpatri dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani.
Melihat kepada situasi dan kedudukan kita masa kini, meski pun semuanya berjalan
dengan baik dan teratur, tetapi Gagasan Rakyat, sebagai sebahagian daripada komponen
dalam GRS, perlu mula memperkemaskan strategi, menyusun rapi pentadbiran dan
pengurusan parti. Tiada lagi ruang untuk kita berlengah-lengah atau berpuashati dengan
kedudukan dan pencapaian. Tiada lagi ruang untuk kita bermegah-megah dengan jawatan
dan kedudukan
Rakyat adalah punca kuasa. Di tangan rakyat terletaknya nasib kita. Parti ini sekadar
bahtera atau kenderaan yang menggerakkan perjuangan kita. Saya sebagai Presiden, dan
anda sebagai Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan dan sebagai Ketua Sayap; kitalah yang
menakhoda atau menjadi jurupandu di peringkat kita masing-masing.
Saya katakan ini sebagai peringatan kepada kita semua, bahawa di tahap ini, usaha
kita seharusnya sudah sampai ke tahap paling maksimum, iaitu usaha mendekati dan
menyantuni rakyat, bahkan usaha dalam mengajak rakyat untuk menyertai bahtera
perjuangan kita. Ini termasuklah juga usaha memperkukuh pentadbiran dan struktur parti di
setiap cawangan, di seluruh bahagian dan di semua peringkat! Cuba kita cermin-cerminkan
diri, di mana dan bagaimana kedudukan kita sekarang ini? Maksud saya, jarak antara kita
dengan rakyat; kedudukan antara kita dengan golongan akar umbi. Adakah kita ini dekat
dengan mereka? Dan adakah mereka menyenangi serta menyokong perjuangan kita? Anda
yang berada di lapangan, dan anda yang menjaga kawasan – tentu lebih arif untuk
memberikan reaksi atau jawapan daripada pertanyaan yang saya lontarkan.
Selaku Presiden, saya bukan sahaja mengharapkan laporan atau cerita yang baik
baik daripada setiap kawasan, tetapi saya mahukan keikhlasan dan kejujuran dalam
memberikan laporan berkenaan. Ada kalanya, laporan yang diterima tidak seperti
maklumbalas yang sampai ke telinga saya, yang dibawa sendiri oleh ahli-ahli parti dari akar
umbi. Sebab itu saya tekankan, hubungan antara pimpinan bahagian dengan rakyat
setempat, hendaklah sentiasa rapat dan akrab, agar denyut nadi rakyat ini mudah kita selami
dan fahami.
Mahu tidak mahu, suka atau tidak, perjuangan ini perlu ditingkatkan. Dan ketahanan
kita dalam melayari bahtera perjuangan ini pun, perlu diperkukuhkan. Kita yang berada di
dalam Gagasan Rakyat ini bukan sahaja perlu meneruskan langkah perjuangan, tetapi
perkemaskan dan perkukuhkanlah dahulu parti kita, saling bekerjasama, bantu membantu
dalam memperteguhkan parti, disamping mempergiatkan silaturrahim, bukan hanya di
kalangan ahli parti, tetapi juga di kalangan masyarakat setempat.
Jangan kita terbawa-bawa dengan amalan atau budaya politik yang hanya
mengutamakan ahli-ahli parti semata-mata, tanpa melibatkan rakyat seluruhnya. Sebab kita
tidak mahu rakyat menjauh atau rakyat rasa terpinggir dari arus perdana kemajuan dan
pembangunan.
Kebersamaan dan kesatuan kita ini perlu kuat dan hebat; perlu kukuh dan padu,
umpama seberkas lidi yang diikat rapi. Kita perlu seia dan sekata, sehati dan sejiwa, bagai
aur dengan tebing, bagai kuku dengan isinya. Kita perlu benar-benar padu dan bersatu; bak
kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sireh, seliang bak tebu dan serangkap bak
lembing. Kita tidak mampu lagi untuk bercerai berai, apatah lagi berpecah belah! Perceraian
dalam konteks perkahwinan akan meruntuhkan institusi rumah tangga; anak-anak akan
menjadi mangsa. Perpecahan dalam konteks berpersatuan dalam perjuangan, akan
meruntuhkan institusi kemasyarakatan; dan anggota masyarakat adalah mangsanya.
Perceraian dan perpecahan adalah dua perkara yang harus dielak dan dijauhi, kerana kedua
duanya boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan rakyat.
Kebersamaan, kesatuan dan perpaduan itu adalah kunci kepada kejayaan dan
kecemerlangan.
Dalam konteks Gagasan Rakyat, berulang kali telah saya sebut bahawa Gagasan
Rakyat ini adalah singgahsana kita, ia adalah rumah kita! Sesungguhnya, rumah ini telah
kita dirikan dan bina bersama dengan tekad dan iltizam yang padu dan jitu. Rumah ini,
adalah rumah kita, rumah kita, kitalah yang jaga, rumah kita, kitalah yang bertanggungjawab
terhadapnya!
Justeru, sudah tiba masa untuk kita memperkemaskan kembali rumah kita ini.
Menyusun-atur segala yang ada di dalamnya dan memperkukuhkan segala penjuru tiang
serinya. Kerana rumah ini akan kita buka seluas-luasnya – supaya ramai tetamu boleh
datang dan bertandang, supaya lebih ramai rakyat yang boleh kita dekati dan santuni.
Sebab itu saya ingatkan lagi; pertingkatkan daya juang, perkukuhkan jentera
pilihanraya, rapatkan saf kepimpinan, dan lebih penting, jenguk-jenguklah rakyat, walau
keberadaan mereka itu nun jauh di pelusuk kampung atau terpencil di kaki gunung!
Menjelang tahun 2025, yang hanya tinggal beberapa minggu lagi ini, adalah hari-hari yang
penuh dengan cabaran.
Sebagai orang politik, mengharungi cabaran dan ujian, mengharungi ombak dan
gelombang politik, itu perkara biasa. Sebagai orang politik juga, dicaci dan dicerca, pun
adalah perkara yang biasa. Apatah lagi dalam dunia serba canggih sekarang ini, dengan
TikTok-nya, dan dengan AI-nya, kita orang politk, semakin tercabar dengan pelbagai
tohmahan, fitnah dan pembohongan yang sangat luar biasa, yang terhasil daripada teknologi
yang terlebih canggih. Hakikat itu kita kena fahami dan tangani.
Justeru, saya ingin mengajak rakan-rakan seperjuangan sekalian, untuk kita sama
sama menggembleng tenaga dan minda, memerangi segala tohmahan, pembohongan dan
fitnah yang menjadi-jadi di luar sana. Inilah bentuk cabaran dan ujian terbaharu dalam
perjuangan. Kita tidak mahu rakyat terpedaya dan mempercayai segala pembohongan dan
fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang dan musuh-musuh politik kita. Sebagai
kepimpinan parti yang dekat dengan golongan akar umbi, saya mengarahkan semua Ketua
Bahagian serta Ketua-Ketua Sayap, agar memantapkan Biro Politik masing-masing. Kerana
itu adalah peranan biro berkenaan untuk menangkis dan memerangi segala dakyah,
tohmahan, pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadap parti kita, terhadap
pimpinan kita dan terhadap kerajaan GRS-PH Plus yang kita dukungi sekarang ini.
Hakikatnya, akan lebih banyak cabaran dan halangan menunggu di hadapan. Dan
akan lebih besar ujian dan tribulasi yang sedia menanti. Justeru, kita harus bekerja keras
dan bersedia untuk berkorban apa saja, bagi memastikan perjuangan ini berlanjutan dan
tidak patah di pertengahan jalan! Hari ini, kita kembali menyatukan semangat dan
memperteguh keyakinan, merapatkan saf kebersamaan, mendengar pandangan dan
mencari kesimpulan untuk memperteguh kesatuan parti kita demi hari esok yang lebih cerah.
Insya Allah.
Marilah sama-sama kita berusaha dengan sesungguh hati, melakukan yang terbaik
dan melaksanakan sedaya upaya, menjadikan negeri Sabah yang bertuah ini terus maju dan
makmur, aman dan sentosa, selaras dan seiring dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju
Sabah Maju Jaya, yang bersifat holistik dan inklusif. Hala Tuju SMJ ini bertekad untuk
melonjakkan Sabah ke mercu kejayaan dalam pelbagai bidang ekonomi, khususnya
Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan. Agenda ini juga menekankan sasaran
pembangunan jaringan infrastruktur yang menyeluruh di Sabah, termasuk Pembangunan
Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, serta Kelestarian Alam Sekitar.
Alhamdulillah, Hala Tuju SMJ 1.0 ini telah berjaya merubah dan memperbaiki prestasi
ekonomi Sabah yang sebelum ini jatuh merudum akibat Pandemik Covid-19. Namun situasi
mula berubah, bila mana GRS mengambilalih Kerajaan Negeri pada hujung bulan
September, 2020, dengan mengadaptasikan konsep politik pembangunan melalui suatu
dasar yang realistik dan pragmatik, sesuai dan secocok dengan kehendak dan keperluan
negeri Sabah.
Pendekatan mesra pelabur yang kita ambil, telah berjaya menarik masuk beberapa
syarikat besar ke negeri ini, dimana pada tahun lalu sahaja nilai pelaburan yang tercatat
berjumlah RM11.34 bilion, merupakan yang ke-7 tertinggi dalam negara. Serentak dengan
itu, hasil negeri turut meningkat naik pada tahun yang sama yang mencecah RM7 bilion,
merupakan yang tertinggi dalam sejarah! Selain itu, kita juga berupaya meningkatkan peratus
pertumbuhan ekonomi negeri dengan unjuran 4.5 hingga 5 peratus pada tahun ini.
Semua ini dapat dicapai kerana kita mempunyai iltizam politik yang tinggi. Pertama,
untuk mewujudkan kestabilan politik. Kedua, untuk memulihkan semula ekonomi negeri.
Ketiga, bekerja keras untuk memantapkan sistem penyampaian dalam sektor awam;
termasuk memantapkan hubungan baik dengan sektor swasta, dan keempat, menjaga dan
memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan. Keempat-empat pendekatan ini
telah berhasil membawa negeri ini kembali ke landasan yang tepat, dan kita berharap rakyat
akan terus memberikan mandat kepada kita pada pilihan raya akan datang, kerana agenda
besar pembangunan seperti yang terkandung di dalam Hala Tuju SMJ masih banyak yang
perlu dilaksanakan.
Kerajaan Negeri akan terus menerokai sumber-sumber baharu untuk menyokong
sumber ekonomi sedia ada, supaya pertumbuhan ekonomi negeri kita ini dapat terus
dipertingkatkan dari tahun ke tahun. Pada masa sama, pelan pembangunan juga akan dapat
diteruskan tanpa sebarang gangguan. Untuk itu, Kerajaan Negeri bertekad menerokai
potensi Ekonomi Biru atau Blue Economy, iaitu sumber baharu dalam pembangunan
ekonomi negeri melalui penerokaan khazanah laut yang berpotensi tinggi untuk
menghasilkan tenaga boleh diperbaharui, serta lain-lain produk industri yang boleh diperolehi
daripadanya. Kedudukan Sabah yang luarbiasa strategik; dikelilingi oleh Laut Cina Selatan,
Laut Sulu dan Laut Celebes, sangat sesuai untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi
Biru yang disebut-sebut akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini untuk beberapa
dekad mendatang.
Dalam pada itu, kita juga menyedari bahawa modal insan merupakan aset terpenting
dalam pembangunan negari. Justeru, pembangunan modal insan menjadi antara intipati
Hala Tuju SMJ yang lebih holistik dan inklusif. Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah
menambah sekali ganda peruntukan untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS)
menjadikannya kini berjumlah RM118 juta, berbanding hanya RM50 juta sebelumnya.
Penambahan ini sudah tentu berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang
berkelayakkan tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di
institusi pengajian tinggi. Kerajaan negeri juga telah umumkan pemberian subsidi tiket
penerbangan sebanyak RM600 seorang kepada anak-anak Sabah yang belajar di
Semenanjung, Sarawak dan Labuan. Dan baru-baru ini, ketika menghadiri Konvensyen
Mahasiswa GRS, saya telah juga mengumumkan pemberian subsidi pengangkutan
sebanyak RM300 kepada pelajar Sabah yang belajar di dalam negeri.
Seiringan dengan itu, Kerajaan juga menyediakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah
(TPNS) sebagai pelengkap kepada bantuan pendidikan sedia ada selain penubuhan
Yayasan Kebajikan Sabah, beserta beberapa insentif lain dengan objektif untuk membantu
rakyat yang sangat-sangat memerlukan bantuan segera, terutama mereka yang kurang
berkemampuan.
Membasmi kemiskinan, terutama miskin tegar, adalah antara agenda penting
Kerajaan Negeri. Ke arah itu, Kerajaan mengambil beberapa pendekatan agresif dengan
menawarkan pekerjaan kepada Ketua atau ahli dalam Isi Rumah golongan berkenaan.
Program ini melibatkan kerjasama beberapa agensi Kerajaan dengan sektor swasta, yang
diselaraskan oleh Sekretariat SMJ, merupakan program yang berterusan. Sebagai contoh,
dua buah syarikat pelabur yang beroperasi di KKIP, telah menawarkan peluang pekerjaan
kepada seramai 4,000 orang anak-anak tempatan, dan beberapa orang daripadanya adalah
dari golongan miskin tegar berkenaan.
Dalam menoktahkan miskin tegar ini juga, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk
membina 3,000 unit Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan, di kesemua 73 kawasan DUN
melibatkan kos berjumlah RM250 juta.
Untuk makluman, melalui pemeteraian Commercial Collaboration Agreement (CCA)
dengan Petronas pada Disember 2021, kita telah memperoleh penyertaan yang lebih besar
dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah, dimana Kerajaan Negeri diberikan
50% ekuiti (pegangan saham) di Lapangan Minyak dan Gas di Semarang, 25% di Samur
Petrochemical Plant, 25% lagi di ZLNG di Sipitang, dan 10% di Petronas LNG9.
Selain itu,pihak Petronas telah juga membayar 5% cukai jualan kepada Kerajaan Negeri sejak tahun 2021.
Sebagai rakan kongsi dalam pembentukan negara bangsa Malaysia, menjadi
tanggungjawab kita untuk sentiasa menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan – lebih-lebih lagi jika Kerajaan Persekutuan itu dibentuk kerana sokongan dan dukungan kita
bersama. Lumrahnya, di dalam Kabinet Persekutuan akan ada wakil-wakil daripada Sabah
dan juga Sarawak, menjadikan dua wilayah di Borneo ini sebagai sebahagian daripada
Kerajaan Persekutuan yang dibentuk itu – kerana hakikatnya, kita adalah rakan kongsi dalam
negara Malaysia. Justeru, hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan,
harus dijaga dengan baik, malah perlu lebih akrab bagi menjamin kerjasama padu dan jitu
untuk kepentingan kita bersama.
Demikianlah antara pendekatan dan strategi kita selama 4 tahun kebelakangan ini,
berbaik-baik dengan jiran tetangga, berbaik-baik dengan semua negeri dan tentunya
berbaik-baik dengan Kerajaan Pusat, kerana kita adalah antara pendukungnya! Semua ini
kita lakukan semata-mata untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat. Semoga
usaha murni yang kita perjuangkan bersama-sama ini, atas nama GRS-PH Plus – ke arah
memakmurkan negeri dan membela rakyat – akan dapat dipertingkat dan diperhebatkan lagi
pada masa-masa mendatang dengan sokongan dan dukungan padu semua pihak.
Sekali lagi saya ingin memberi peringatan kepada orang-orang Gagasan Rakyat untuk
merapatkan saf kepimpinan dan memperkukuhkan seluruh jentera parti. Rakyat di luar sana
jangan dilupa. Aktiviti parti mesti melibatkan rakyat jelata bukan ahli parti semata-mata.
Mendekati dan menyantuni rakyat bukan tugas kerajaan sendirian, tetapi itu adalah juga
peranan YB-YB Gagasan Rakyat dan YB-YB Gabungan Rakyat Sabah, termasuk
tanggungjawab semua pimpinan Gagasan Rakyat yang berada di hadapan saya ini! Apabila
tiba masanya nanti, ketika mana diumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri,
maka pada saat itu, bersedialah untuk bekerja lebih keras, bekerja siang dan malam, demi
memastikan parti kita, Parti Gagasan Rakyat Sabah dan GRS, tetap menjadi pilihan utama!
Kita akan pulangkan kembali kuasa kepada rakyat untuk diputuskan melalui peti undi,
sesuai dengan amalan demokrasi. Sebagai Government of the day, GRS-PH Plus, akan
terus berkhidmat dan berbakti selagi tempoh pemerintahan ini belum berakhir. Menjelang
pilihanraya nanti, kita akan terus menawarkan parti ini dan GRS kepada rakyat – kerana
masih banyak yang perlu kita lakukan untuk membangunkan negeri yang tercinta dan
mensejahterakan rakyat yang dikasihi. Kerajaan ini tetap menjadi platform terbaik untuk kita
memantapkan gabungan demi meneruskan legasi perjuangan.
Pilihan Raya yang mendatang menuntut kita semua untuk memperkukuh kerjasama,
mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan Gagasan Rakyat
dan GRS adalah pilihan terbaik untuk seluruh rakyat – kerana kita bukan sahaja berupaya
dan berkebolehan dalam memikul amanah, tetapi juga ikhlas dalam perjuangan dan jujur
dalam mencurahkan khidmat bakti dimana seluruh rakyat boleh meletakkan kepercayaan
dan menyandarkan harapan.
Sepanjang tempoh 4 tahun lalu, Kerajaan yang kita dukungi telah membawa banyak
perubahan positif dalam politik, dalam ekonomi dan dalam semua aspek pembangunan
negeri.
Pendekatan kerajaan yang inklusif, telah membawa kepada kestabilan dan
keharmonian berasaskan prinsip akomodatif. Lebih utama, selama 4 tahun ini, kita telah
berjaya memperkukuhkan jambatan yang menghubungkan Sabah dengan Persekutuan,
lantas memperkukuh kerjasama dan persefahaman dalam isu-isu penting berkaitan
keselamatan, kedaulatan negeri, hak-hak Sabah dalam penerokaan minyak dan gas, dan
lebih signifikan hak-hak Sabah di bawah MA63.
Saya berharap, agar semangat perjuangan yang membara di dalam dewan ini, akan
terus disemarakkan sehingga tiba Pilihan Raya. Saya berharap, semangat jitu dalam
perjuangan yang dipamerkan oleh seluruh perwakilan pada hari ini, akan berkekalan
sehingga ke Perhimpunan yang akan datang! Ayuh! Kita pertahankan Gagasan Rakyat!
Ayuh! Kita pertahankan Gabungan Rakyat Sabah! Ayuh! Kita pertahankan Kerajaan yang
kita dukungi ketika ini! Mari kita memperteguhkan perjuangan selaras pepatah yang
berbunyi, “Bersatu dalam perkara yang kita sepakati dan bermusyawarah dalam perkara
yang kita selisihi”. Jika kita bergerak dalam satu pasukan yang jitu, bergerak dalam satu
irama yang sama, bergerak atas nama Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward
(Sabah Melangkah Ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Makmur) dan Sabah United (Sabah
yang Bersatu), insya Allah, kita akan dapat menolak segala anasir yang cuba
memperlekehkan dan mematahkan agenda pembangunan kita, sekaligus meletakkan posisi
kita kehadapan sebagai pejuang yang mempelopori Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Marilah kita bangkit mempertahankan kerajaan yang terbina di atas tembok demokrasi
ini. Bangkit menentang segala tohmahan, pembohongan, hasutan dan fitnah! Bangkit bagi
menegakkan kebenaran dan keadilan! Dan bangkit bagi memperjuangkan hak kita dan hak
negeri yang tercinta! Jangah sekali-kali kita berganjak dan berundur diri. Jangan sekali-kali
kita mengangkat tangan dan menyerah kalah! Biar petir berdentum, biar langit bergegar
hingga memuntahkan hujan api sekali pun, kita tidak akan berganjak walau seinci! Patah
galah bertongkat kaki, patah kaki bertongkat lutut, patah lutut bertongkat siku, patah siku
bertongkat kuku! Namun pendakian akan tetap kita daki, dan lautan api akan terus kita
renangi! Pantang maut sebelum ajal, pantang berundur sebelum bertarung! Kita wira-wira
bangsa dan para pejuang Gagasan Rakyat – ayuh! Bangkit dan nyatakan kepada dunia, kita
adalah pembela rakyat, dan kita adalah pejuang yang sanggup gugur demi mempertahankan
maruah bangsa dan kedaulatan negeri yang tercinta!:
Makan ulam daun Pegaga
Ulam dipetik keliling kampung
Rumah kita, kitalah yang jaga
Tempat rakyat datang berlindung
Ombak besar memukul pantai
Mengheret hanyut ikan Seluang
Walau dihempas dipukul badai
Gagasan Rakyat TATAP berjuang
Keris panjang terhunus rapi
Langkah dibuka perlahan-lahan
Walau langit runtuh ke bumi
Menyerah kalah bukan pilihan!
Sekian, Selamat Bersidang dan Selamat Maju Jaya!
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Add Comment