Home » Usaha jaga kebajikan nelayan terus diperkasa
Berita Gagasan Rakyat Politik

Usaha jaga kebajikan nelayan terus diperkasa

PENERIMA: Semua penerima sumbangan jaket keselamatan dan lampu keselamatan yang hadir dalam majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Usaha menjaga kebajikan nelayan di kawasan ini terus dipergiat apabila seramai 50 nelayan menerima sumbangan jaket keselamatan dan lampu keselamatan, baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru, Dr Ritchie Jay Cheng yang turut menegaskan komitmen pihaknya dalam memastikan keselamatan para nelayan sentiasa diutamakan.

Katanya, inisiatif itu adalah fasa kedua program berterusan menyasarkan golongan nelayan, terutama di kawasan Tanjung Aru, yang terkenal dengan hasil laut segar dan menjadi nadi utama kepada industri perikanan tempatan.

“Hari ini, Gagasan Rakyat Tanjung Aru meneruskan usaha menyampaikan sumbangan life jacket dan lampu keselamatan secara konsisten kepada 50 nelayan lagi di Tanjung Aru dalam Fasa Kedua, bagi membantu mereka turun ke laut dengan lebih selamat.

“Inisiatif seperti ini belum pernah dilaksanakan di Tanjung Aru, dan ia mencerminkan komitmen berterusan kami dalam menjaga kebajikan para nelayan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan itu.

 Dr Ritchie bergambar bersama semua penerima sumbangan.
ALBUM: Dr Ritchie bergambar bersama semua penerima sumbangan.

Ritchie yang juga Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sabah berkata, usaha berkenaan turut selari dengan penubuhan Majlis Ekonomi Biru Sabah oleh kerajaan negeri, dalam usaha membangunkan sektor perikanan dan pelancongan secara mampan.

“Tanjung Aru bukan sekadar kampung nelayan, tetapi juga kawasan pelancongan penting dengan dua padang golf dan hotel bertaraf lima bintang. Maka, kesejahteraan komuniti nelayan di sini wajar diberi perhatian,” katanya.

Difahamkan, seramai 50 lagi nelayan di Pulau Gaya akan menerima sumbangan sama dalam fasa ketiga program berkenaan yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

 Dr Ritchie ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima.
SUMBANGAN: Dr Ritchie ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima.

 

–Hamzah Sanudin